SATU kesilapan penulis adalah tidak menikmati tontonan Ramayana dengan teknologi IMAX di panggung wayang. Itu satu penyesalan besar yang terbuku di hati usai menghabiskan durasi sekitar tiga jam 15 minit di kerusi audiens.
Mengangkat kisah epik yang sudah sebati dalam sejarah dan budaya masyarakat India ke layar perak bukanlah tugas mudah, apatah lagi apabila Ramayana merupakan karya klasik yang telah diadaptasi dalam pelbagai bentuk penceritaan sejak sekian lama.
Justeru, pengarah Nitesh Tiwari mengambil cabaran besar menerusi Ramayana: Part 1 yang tampil dengan cita rasa sinematik moden, skala produksi luar biasa dan barisan pelakon ternama Bollywood.
Dibintangi Ranbir Kapoor sebagai Rama, Sai Pallavi (Sita) dan Yash (Ravana), filem berkenaan cuba membawa penonton menyelami dunia mitologi yang sarat dengan konflik, pengorbanan, kesetiaan serta pertentangan antara kebaikan dan kejahatan.

Menariknya, Tiwari tidak tergesa-gesa memperkenalkan watak Rama sebagai teras cerita, sebaliknya membuka naratif dengan kebangkitan Ravana dan dunia para asura yang menjadi latar kepada konflik lebih besar.
Pendekatan tersebut memberikan perspektif berbeza terhadap penceritaan Ramayana apabila penonton terlebih dahulu diperkenalkan dengan kuasa, keangkuhan dan cita-cita Ravana sebelum kisah Rama mengambil tempat.
Dari sudut penceritaan, filem berkenaan mempunyai kekuatan tersendiri menerusi usaha mengimbangi elemen mitologi dengan hubungan kekeluargaan serta nilai kemanusiaan. Kisah pengorbanan Rama, kesetiaan Lakshmana dan kasih sayang Sita menjadi antara tunjang yang menggerakkan naratif.
Terdapat beberapa bahagian yang dirasakan agak panjang, sekali gus menyebabkan momentum cerita sesekali terganggu. Keghairahan memperkenalkan dunia fantasi dan latar mitologi yang luas juga menyebabkan sesetengah perkembangan watak kurang diberi ruang secukupnya.
Terjemahan karakter
Dari segi lakonan, Ranbir ternyata memikul tanggungjawab besar sebagai Rama dengan pendekatan bersahaja dan terkawal. Dia tidak terlalu bergantung pada dialog dramatik atau ekspresi berlebihan untuk menampilkan karakter seorang putera yang berpegang teguh pada prinsip dan tanggungjawab.

Yash pula mencuri perhatian menerusi penampilannya sebagai Ravana. Dengan karisma dan fizikal yang cukup dominan, pelakon itu berjaya membentuk karakter pemerintah Lanka yang penuh kuasa, bercita-cita besar dan memiliki sisi gelap tersendiri.
Lebih menarik, Ravana tidak digambarkan semata-mata sebagai antagonis yang jahat tanpa sebab. Penceritaan turut memberikan gambaran tentang latar belakang, kepercayaan dan keinginan menguasai yang membentuk keperibadiannya.
Pendekatan itu menjadikan watak berkenaan lebih kompleks, sekali gus memberikan Yash ruang untuk menyerlah.
Sementara itu, Sai Pallavi sebagai Sita sementelah Ravi Dubey (Lakshmana) memiliki kekuatan dan pegangan emosi masing-masing.
CGI
Dari sudut teknikal, Ramayana sememangnya mempunyai kelebihan besar menerusi sinematografi dan kesan visual komputer (CGI) yang mengagumkan. Gambaran kerajaan Ayodhya, Lanka serta dunia para dewa dan asura dibina dengan perincian yang memberikan pengalaman fantasi berskala besar.
Adegan pertempuran dan kemunculan makhluk mitologi turut memperlihatkan usaha produksi untuk menghasilkan sebuah filem yang mampu bersaing dengan karya fantasi antarabangsa.
Bagaimanapun, kualiti CGI tidak sepenuhnya konsisten apabila terdapat beberapa babak yang kelihatan terlalu digital sehingga sedikit menjejaskan realisme visual. Sepertimana yang disesalkan pada perenggan pertama, mungkin tidak sepatutnya ditonton tanpa IMAX.

Aspek muzik juga antara tarikan utama apabila dua komposer berpengaruh, Hans Zimmer dan A. R. Rahman bergabung tenaga skor latar filem ini. Gabungan sentuhan muzik antarabangsa dan elemen tradisional India memberikan nuansa epik yang sesuai dengan skala penceritaan.
Walaupun skor latarnya berjaya membina suasana dramatik dan menaikkan intensiti babak penting, muzik dalam Ramayana tidak semuanya sempurna. Ada ketika, kekuatan susunan muzik terasa lebih menonjol berbanding emosi lakonan dan dialog.
Keseluruhan, Ramayana: Part 1 merupakan sebuah produksi berani yang memperlihatkan kemampuan sinema India menghasilkan karya mitologi bertaraf antarabangsa.
Terjemahan karakter ‘top-notch’ terutama Yash sebagai Ravana. Itu antara perihal paling berbekas. Syabas buat keseluruhan produksi!

