Shaheizy Sam, Aida Amron pelakon terbaik FFM35

KUALA LUMPUR – Lakonan meruntun emosi dalam filem Badak yang mengangkat isu komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran melayakkan dua bintang utamanya, Shaheizy Sam dan Aida Amron membawa pulang trofi Pelakon Lelaki serta Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya di sini, hari ini.

Membawa watak sebagai Badak iaitu seorang bapa yang mengalami masalah pendengaran, Sam menyifatkan kemenangan tersebut sebagai rezeki hasil doa keluarga serta kerja keras seluruh pasukan produksi filem berkenaan.

“Alhamdulillah, ini rezeki dan terima kasih kepada ibu saya, Khaty Fauziah yang tidak pernah berhenti mendoakan, isteri, keluarga serta seluruh pasukan filem Badak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya hadiahkan semula kemenangan ini kepada semua yang datang ke kafe Abdul’s, 100 piza pertama percuma,” katanya yang kelihatan sebak sewaktu menerima trofi tersebut di atas pentas.

Kemenangan tersebut sekali gus mengetepikan empat lagi finalis iaitu Idan Aeden (Abah Saya Uncle Mike), Eman Manan (3 Hajat), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amerul Affendi (Libang Libu).

Trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM35 pula menjadi milik pelakon meningkat naik, Aida Amron menerusi filem yang sama arahan M. Raihan Halim, menewaskan Azira Shafinaz (Malam Terlarang), Fish Liew (Pavane For An Infant), Nad Zainal (Denu) dan Mimi Lana (Polong).

“Terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kepercayaan dan menganugerahkan saya trofi ini.

“Badak adalah karya yang sangat bermakna serta menjadi peringatan kepada semua dan semoga saya dapat terus memanusiakan manusia dalam industri ini,” ujarnya.

Sementara itu, kategori Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik pula mencipta kejutan apabila menobatkan Ezarra Nurzhaffira atau Zarra Zhaff (Khadam) serta Kuben Mahadevan (Macai) sebagai pemenang.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 berserta trofi. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok