Hidup susah, 5 bintang korea buat kerja sambilan

RAMAI sedia maklum, segelintir selebriti Korea Selatan pernah berdepan cabaran hidup dan masalah kewangan sebelum mencipta nama sebagai anak seni yang digilai seantero dunia.

Mereka terpaksa menempuh fasa kehidupan yang cukup memeritkan dan melakukan pelbagai kerja demi kelangsungan hidup.

Mereka melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk di tapak pembinaan, restoran, ladang dan pusat tuisyen. Apa sahaja yang boleh mendatangkan rezeki mereka akan lakukan demi menyara diri dan keluarga.

Pengalaman ‘mahal’ mereka itu menjadi inspirasi buat ramai peminat khususnya anak muda yang mahu mengejar impian bergelar anak seni.

Ini antara selebriti terkenal yang pernah melakukan kerja sambilan sebelum mencapai status A-list hari ini.

Ryu Jun-yeol

PELAKON Ryu Jun-yeol dikenali sebagai ‘raja kerja sambilan’ dalam kalangan peminatnya.

Sewaktu di universiti, pelakon berusia 39 tahun itu melakukan hampir semua kerja yang boleh mendatangkan wang.

Jun-yeol pernah menjadi guru tuisyen sekolah rendah, penghantar piza, buruh binaan, tukang bakar daging di restoran barbeku sehinggalah menjadi kru yang menyusun kerusi untuk acara besar.

Malah, bintang drama Reply 1998 itu juga pernah menjual barangan cenderamata di konsert kumpulan K-Pop terkenal, SHINee.

Kim Go-eun

SEBELUM memikat penonton menerusi drama Goblin, pelakon Kim Go-eun pernah bergelut dengan masalah kewangan.
Wanita berusia 34 tahun itu tidak malu mengakui pernah bekerja dalam pelbagai bidang untuk menyara diri.

Antara pekerjaan yang pernah dilakukannya adalah menjadi model untuk kedai pakaian dalam talian dan menyusun dokumen di pejabat daerah.

Paling mencabar, dia pernah bekerja di sebuah restoran mi Jepun selama 10 jam sehari.

Kang Ha-nuel

DIKENALI sebagai pelakon yang paling berbudi bahasa, Kang Ha-nuel sebenarnya sudah belajar berdikari sejak usia remaja.

Selepas berhijrah dari Busan ke Seoul, bintang drama Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo itu bekerja di kedai serbaneka, stesen minyak, ladang itik dan restoran bufet.

Jejaka berusia 36 tahun itu menggunakan hasil titik peluhnya untuk membayar yuran pengajian dan kos sara hidup tanpa mengharapkan bantuan keluarga.

Kim Tae-ri

MEMPUNYAI kisah yang cukup menarik, pelakon Kim Tae-ri pernah bekerja sebagai jurujual susu soya di sebuah pasar raya sebelum debut.

Bakat dan perwatakannya yang menarik menyebabkan pemilik premis itu menawarkannya kerja tetap.

Minatnya dalam bidang lakonan hanya bermula selepas menyertai kelab teater di universiti dan sejak itu dia tekad mengubah hidupnya.

Go Min-si

 

BERBEZA dengan rakan artis lain, pelakon Go Min-si memulakan kerjaya dalam bidang yang agak profesional.

Selepas tamat sekolah dan mengambil kursus kecantikan, pelakon berusia 31 tahun itu bekerja sebagai perancang perkahwinan.

Meskipun minat asalnya adalah berlakon, si cantik yang popular menerusi drama Love Alarm itu memilih kerjaya berkenaan kerana menganggap industri perkahwinan mempunyai prospek ekonomi yang sangat stabil.

Selepas beberapa ketika, dia akhirnya memberanikan diri untuk mengejar impian bergelar pelakon. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok