‘Minat artis atau tidak, tolong beradab bila bercakap’

LUMRAH dunia hiburan, setiap gerak-geri menjadi perhatian, butir bicara mudah dihakimi. Di sebalik timbunan pujian yang dikecapi, ada sisi rapuh jarang terlihat, hati manusia tetap punya rasa meski dipuja ramai.

Dalam era media sosial tanpa sempadan, garis antara gurauan dan penghinaan sering kabur. Yang disangka ringan, boleh menjadi luka buat penerima. Hakikatnya, adab semakin diuji apabila keberanian bersuara tidak lagi disaring dengan timbang rasa.

Rasa luka itu dilalui penyanyi Nabila Razali apabila dihina seorang peminat secara berdepan. Lebih mengejutkan, individu itu tanpa berlapik berkata suaranya seperti ‘chipmunk’ sebelum mengajak bergambar.

Berdepan momen kurang menyenangkan, pemilik nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali itu memilih untuk tidak melatah, sebaliknya menjadikan insiden berkenaan sebagai peringatan buat semua agar lebih berhati-hati dalam berkata-kata.

“Sejujurnya saya tidak mahu ulas panjang, tetapi apa yang saya katakan sebelum ini, itulah pendirian saya. Pesanan saya, tidak kisahlah kita minat seseorang atau tidak, bila hendak bercakap, fikir dahulu. Jangan melontarkan kata tanpa pertimbangan.

“Kalau artis buat silap, cepat sahaja dipersalahkan tetapi apabila orang biasa buat perkara sama, kita diminta bertolak ansur. Sedangkan adab itu sepatutnya dipraktikkan semua orang,” katanya kepada HibGlam.

Gurauan bersemuka

Pelantun lagu Peluang Kedua itu mengakui perasaannya bercampur baur ketika berdepan situasi itu, apatah lagi ‘gurauan’ tersebut dilontarkan secara bersemuka.

“Situasi ini bukan kali pertama, cuma kali ini berlaku depan mata. Saya agak terkejut dan tidak tahu bagaimana mahu beri reaksi. Sebelum ini ramai hanya berani bercakap di belakang. Bila berdepan, saya sendiri jadi keliru sama ada mahu ketawa, marah atau diam sahaja. Namun, saya bukan jenis cepat melatah. Setiap orang ada pandangan, cuma pemilihan kata perlu lebih berhemah,” ujarnya.

Begitupun, wanita berusia 34 tahun itu tetap menghargai sokongan tidak berbelah bahagi peminat serta rakan industri dan mengambil langkah memadam hantaran asal demi meredakan suasana.

“Saya sempat membaca komen sokongan sebelum memadam hantaran tersebut. Terima kasih kepada semua yang memahami. Niat saya bukan untuk menyerang sesiapa, hanya mahu beri peringatan. Perkara begini bukan berlaku kepada saya sahaja, ramai lagi melalui situasi serupa termasuk dipersenda fizikal.

“Bila mesej sudah sampai, itu sudah memadai. Saya tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk atau mengundang kebencian,” jelasnya.

Sebelum mengakhiri bicara, ibu seorang anak itu menegaskan sikap seseorang mencerminkan nilai diri.

“Tidak salah untuk menjadi baik. Kalau kita bersikap buruk, orang akan menjauh. Apa orang lakukan kepada kita, itu pilihan mereka. Cara kita bertindak balas pula menunjukkan siapa diri kita. Saya hanya terkejut, bukan mahu meraih simpati. Apa yang penting, kita semua belajar untuk lebih menjaga tutur kata,” tutupnya.

Dalam perkembangan lain, Nabila kini rancak memenuhi undangan nyanyian selain berusaha sedaya upaya meluangkan masa berkualiti bersama suami dan anak tercinta.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok