MESKI dunia semakin moden, kepercayaan karut, tahyul dan mistik yang berakar kuat dalam masyarakat Melayu sukar dipisahkan.
Dek kerana itu, Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terpanggil mementaskan Suluh Peraba.
Kali terakhir dipentaskan kira-kira 24 tahun lalu, naskhah hebat itu merupakan adaptasi novel nukilan Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari.
Suluh Peraba digarap semula dengan skripnya ditulis Allahyarham Zakaria Ariffin dan diarahkan Subroto Katimin.
Subroto berkata, teater itu ada nilai sentimental yang tinggi kerana pernah terlibat dalam produksi sama pada 2001 sebagai Penolong Pengarah dan pelakon utama.
Suluh Peraba sangat dekat di hati saya. Bukan hanya adaptasi karya hebat, malah satu penghormatan kepada penulis skripnya, Allahyarham Zakaria Ariffin yang baru meninggal dunia pada Februari lalu,” ujarnya.
Mengangkat tema konflik antara rasional dan kepercayaan karut, Suluh Peraba mengetengahkan dua watak utama, Asmal dan Odai yang menentang amalan bomoh dan tahyul dengan menubuhkan kelab Suluh Peraba.

SULUH Peraba akan dipentaskan esok, pukul 8.30 malam dan 17 Mei (2.30 petang serta 8.30 malam) di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Namun, tekanan keluarga dan keadaan memaksa Asmal dan odai kembali berpegang kepada amalan yang pernah mereka kritik.
Menurut Subroto, antara pembaharuan yang dibawanya kali ini adalah pementasan itu berlatarbelakangkan tahun 2025 namun masih mengekalkan ‘roh’ dan mesej asal karya.
Persembahan itu turut menampilkan simbolisme visual dan elemen estetika mistik, diolah dalam pendekatan satira komedi yang mendidik.
Kita boleh lihat kepercayaan terhadap bomoh dan amalan tahyul masih berakar dalam masyarakat hari ini. Maka, pementasan ini adalah satu bentuk refleksi, sindiran dan peringatan agar kita tidak tergolong dalam golongan yang sesat. Sambil berhibur, penonton akan ‘terjentik’ untuk berfikir,” tambah Subroto.
Subroto turut berharap pementasan ini dapat menarik perhatian generasi muda agar lebih kritikal terhadap kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam dan kembali menghargai budaya Melayu berlandaskan syarak.
Pementasan Suluh Peraba akan berlangsung pada 16 Mei 2025 (8.30 malam) dan 17 Mei 2025 (2.30 petang dan 8.30 malam) bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. – HIBGLAM