MEMAHAMI dasar keterbukaan terhadap penyanyi luar, band rock Bunkface berharap masyarakat tetap memberi sokongan kepada penggiat seni lokal agar industri muzik tanah air mampu berkembang dan berdaya saing.
Pemain bass, Youk atau nama sebenarnya, Mohd Farouk Jaafar, 37, berkata usaha memperjuangkan karya serta identiti pemuzik tempatan yang turut menjana ekonomi negara dapat diperkukuh menerusi pembabitan semua pihak termasuk peminat muzik.
“Semua orang mempunyai cita rasa tersendiri. Kita raikan perbezaan. Apa pun itu pilihan masing-masing. Tepuk dada, tanya selera.
“Tidak salah kalau kita buka pintu kepada artis luar walaupun penyanyi tempatan sukar tembusi pasaran negara mereka.
“Secara peribadi, sebagai rakyat Malaysia saya tetap menyokong semua. Cuma kalau anda tidak sokong kami, bagaimana kami nak terus maju, kembangkan industri dan membina skala ekonomi lebih besar,” katanya selepas majlis pelancaran Arieva Event Space di Rantau Panjang, semalam.
Mewakili Bunkface selaku rakan kolaborasi gelanggang acara itu, Youk berkata, keampuhan jati diri penduduk sesebuah negara juga antara lain adalah menerusi seni yang secara tidak langsung menjadi tanggungjawab semua menjaga pasaran domestik.
“Sememangnya cita rasa muzik antara kita berbeza, tapi kita mempunyai jati diri yang perlu dipertahankan iaitu memelihara serta mengutamakan produk tempatan.
“Kalau tidak, pada akhirnya nanti di sekeliling kita hanya ada produk import. Pastinya kita perlu bermula dari ‘dalam’ dengan saling menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.
Sementara itu, vokalis Bunkface, Sam pula menyifatkan kehadiran artis luar negara bukan sebagai ancaman, sebaliknya memeriahkan lagi landskap muzik negara.
Begitupun, dia tidak menolak kemungkinan perbelanjaan besar peminat untuk konsert penghibur antarabangsa sedikit sebanyak menjejaskan peruntukan untuk menyaksikan pula persembahan artis tempatan.
“Kehadiran mereka tidak mengganggu, malah memeriahkan lagi suasana. Cuma harga tiket konsert artis antarabangsa sangar tinggi, seperti My Chemical Romance (MCR).
“Mungkin penonton lebih cenderung berbelanja untuk konsert antarabangsa hingga apabila tiba giliran penyanyi tempatan, bajet mereka sudah tiada. Kemungkinan itu ada,” katanya.
Sam yang menyedari Bunkface tidak boleh dibandingkan dengan band gergasi luar negara tetap bersyukur kerana mereka masih meraih sokongan padu sepanjang dua dekad dalam industri.
“Kalau hendak bandingkan dengan kumpulan luar, siapalah kami. Namun selagi peminat terima, kami akan terus berjuang serta terus bertahan,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan Arieva Event Space, kata pemain dramnya pula, Biak menganggap kolaborasi ini membolehkan mereka meneroka pelbagai peluang baharu.
“Banyak yang sudah dirancangkan untuk termasuk penganjuran acara kreatif, persembahan dan pembangunan kandungan.
“Lokasi tempat ini di kawasan paya bakau juga memberikan nilai tambah, dilengkapi pula dewan kaca serta pemandangan menghijau alam semula jadi,” ujarnya. – HIBGLAM

