‘BERPISAH’ selepas 15 tahun bekerjasama, penyanyi Dayang Nurfaizah nafi wujud konflik dengan bekas pengurus sehingga mereka memilih membawa haluan masing-masing seperti didakwa segelintir pihak.
Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 43, berkata, keputusan tersebut juga dicapai atas persetujuan bersama selepas mempertimbangkan pelbagai perkara.
Memang tiada sebarang konflik atau berlaku perbalahan antara kami, sebaliknya keputusan menukar pengurusan dicapai secara permuafakatan.
“Kami pun sudah lama bekerjasama, jadi sekarang dalam fasa peralihan kepada pengurusan baharu,” katanya kepada HibGlam.
Dayang yang ditemui pada pelancaran Konsert MeleTOP TVS mengakui hanya mengharapkan perjalanan karier bekas pengurusnya lancar.
Saya doa serta harap beliau dapat mencapai apa yang dihajati memandangkan pengalaman serta kebolehannya dalam industri ini juga sangat luas,” ujarnya.
Menurutnya, kerjaya seni yang semakin berkembang memerlukan pasukan baharu dan pengurus pengganti pula kini masih dalam tempoh percubaan.
Kaedah pengurusan mungkin berbeza. Cuma pihak dimaksudkan masih dalam tempoh percubaan, tengok dulu prestasinya.
“Saya nak tengok dulu caranya merencana kerjaya seni saya. Doakan semuanya berjalan lancar,” kongsinya.
Ketika awal kerjaya, penyanyi asal Sarawak itu diuruskan Sheliza Kadir Sultan selama 10 tahun sebelum tugas itu diamanahkan kepada Sherina sekitar 2010.
Dayang dan Sherina sudah membawa haluan masing-masing sejak Februari lalu biarpun buat masa ini penyanyi terbabit belum mengumumkan pengurus baharu. – HIBGLAM