SELEPAS dua bulan kembali menjanda, penyanyi Mas Idayu tampil mengakui dirinya yang menuntut perceraian daripada bekas suaminya, Muhamad Sufian Che Isa pada Mac lalu.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Mas Idayu Mesnun, 53, enggan mendedahkan punca perceraiannya dengan penerbit TV3 itu kerana tidak mahu membuka aib sesiapa.
“Kalau ditanya kenapa, saya sangat layak untuk memohon perceraian.
Saya menuntut cerai sebelum bermulanya program Famili Duo 4, tetapi saya masih jalankan tugas sebagai juri seperti biasa. Saya datang ke mahkamah pada 4 Mac dan jatuh talak.
“Kalau seorang isteri minta cerai tanpa sebab, tidak cium bau syurga. Tak perlulah cari salah siapa kerana saya yang minta untuk dilepaskan, tak mahu buka aib sesiapa,” katanya menerusi temu bual dengan media.
Dalam masa sama, pelantun lagu Cintaku 100% itu menafikan wujud orang ketiga dalam perkahwinannya selain masih menjalin hubungan baik dengan Sufian.
“Tak tahu kenapa netizen buat andaian kata saya punca kami bercerai. Merangkaklah mereka yang tuduh saya di padang mahsyar.
Tiada orang ketiga, kami bercerai cara baik. Siap bergelak lagi semasa pergi mahkamah.
“Saya dan bekas suami tidak bergaduh langsung dan masih boleh berkawan,” ujarnya lagi.
Minggu lalu, Sufian mengesahkan sudah bercerai dengan Mas Idayu tetapi masih bekerja secara profesional andai bertembung.
Sebelum ini, Utusan Malaysia menerusi ruangan pojok mendedahkan Mas Idayu dan Muhammad Sufian tidak lagi hidup sebagai suami isteri.
Akhbar itu turut melaporkan pasangan tersebut tidak lagi tinggal sebumbung.
Mas Idayu atau nama sebenarnya, Masidayu Mesnun, 53, mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Sufian selepas 15 tahun hidup menjanda pada September 2022. – HIBGLAM