Miselia persimpangan perit realiti dan ilusi

DUNIA pernah ketakutan akibat pandemik Covid-19. Ketika itu hampir semua orang dilanda kebimbangan diserang wabak. Namun di sebalik pintu rumah yang tertutup, ada kisah lebih tragis apabila sekeluarga terpaksa menelan pelbagai tekanan.

Persoalan itulah yang berakar dalam fikiran pengarah telefilem Miselia, Ekien Zainal sebelum mengolah isu mental menjadi kisah yang menyentuh sisi gelap manusia, trauma serta kecelaruan identiti akibat terkurung di rumah.

Ekien berkata, ketika ramai individu kehilangan pekerjaan akibat pandemik, fikirannya lebih tertumpu kepada nasib insan yang mempunyai tanggungan, khususnya isteri dan anak-anak yang turut menerima tempias situasi global.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya tidak fikir sangat tentang orang yang kehilangan pekerjaan itu. Saya lebih tertanya-tanya nasib waris mereka. Apa yang berlaku kepada isteri dan anak-anak apabila seluruh keluarga dibelenggu masalah?

“Tekanan ketika itu sangat hebat. Daripada situ, sedikit demi sedikit cerita ini mula berkembang menjadi sebuah naskhah lengkap,” katanya selepas pratonton Miselia di RTM Angkasapuri, baru-baru ini.

Menariknya, perjalanan Miselia sendiri seakan-akan mencerminkan pengembaraan watak serta dunianya yang sentiasa berubah antara realiti dengan ilusi.

Ekien mendedahkan, karya berkenaan pada awalnya dikenali sebagai Logamaya, sebelum ditukar kepada Fatamorgana dan akhirnya menemukan identiti sebagai Miselia.

Miselia ialah istilah fiksyen yang saya cipta sendiri, tetapi diinspirasikan daripada istilah saintifik miselium iaitu jalinan atau siratan bebenang halus (hifa) yang membentuk struktur bagi kulat.

“Saya kemudian menyelaraskan istilah itu dengan elemen yang terdapat dalam cerita dengan cendawan atau kulat sebagai undur perlambangan,” katanya.

Cendawan yang kelihatan sederhana turut diberikan makna tersendiri dalam naratif karya berkenaan apabila watak isteri digambarkan berusaha menghidupkan keluarga menerusi tanaman cendawan secara kecil-kecilan.

ELLIE serta Azhar memegang watak suami isteri yang berdepan tekanan sehingga kerap bergaduh di hadapan anak mereka.

Permainan realiti

Namun, di sebalik cendawan yang tumbuh dan spora yang berterbangan, tersembunyi permainan realiti yang sengaja dibina untuk mengelirukan penonton.

Kalau diperhatikan, ada cendawan yang mengeluarkan spora. Hakikatnya, spora itu aktif pada waktu pagi, tetapi dalam cerita ia berlaku pada tengah hari.

“Itu sebenarnya permainan ilusi watak tersebut. Dari situ penonton dibawa melayari karakter serta personaliti dalam isi rumah tersebut,” katanya.

Bagi menguatkan lagi rasa asing dan misteri, Ekien memilih Bukit Fraser sebagai antara lokasi penggambaran, selain mencipta dunia rekaan yang tidak terikat dengan mana-mana tempat sebenar.

Kata Ekien, keputusan itu dibuat memandangkan Miselia turut mengandungi elemen keganasan dan berkaitan dengan polis, justeru lokasi serta identiti tempat sengaja direka bagi membentuk alamnya sendiri.

Disebabkan kisah ini tiada kaitan dengan kisah benar, saya cipta tempat dinamakan Vermont Hill. Papan tanda yang muncul dalam cerita juga dihasilkan khas bagi ilusi dunia fiksyen yang kami realisasikan.

“Saya mahu penonton masuk ke dalam dunia cerita itu tanpa terlalu terikat dengan realiti tempat sebenar,” ujarnya.

Membariskan pelakon hebat termasuk Ellie Suriaty, Azhar Sulaiman, Niezam Zaidi, Adam Shahz dan Shiqin Kamal, akui Ekin, kesemua bintang memberikan hasil melebihi dipinta.

Saya boleh berikan enam bintang selepas melihat hasil naskhah ini. Masing-masing sangat berdedikasi sepanjang beraksi depan kamera membuatkan saya sendiri ‘goosebumps’.

“Begitu juga dengan pasukan petugas belakang tabir yang memberikan sepenuh jiwa sehingga penggambaran serta pasca penerbitan dapat dihasilkan dengan mutu terbaik,” katanya.

Miselia dijadualkan menemui penonton di saluran TV1 pada 10 Oktober ini, selain boleh distrim secara digital di RTMKlik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok