Jaga suara, Hael Husaini rehat seminggu sebelum ‘showcase’

“Saya akan direhatkan sebelum konsert untuk pulihkan peti suara.”

Demikian perkongsian penyanyi Hael Husaini yang akan berehat selama seminggu sebelum terlibat dengan konsert atau ‘showcase’ besar bagi memastikan suaranya berada dalam keadaan baik.

Pemilik nama penuh Hal Husaini Razmi, 37, itu berkata, keputusan tersebut dibuat kerana bimbang kehilangan suara menjelang konsertnya pada 31 Mei ini.

“Memang ada rasa risau sebab kebanyakan penyanyi akan hilang suara atau demam bila konsert makin dekat tapi itulah ujian sebenarnya.

“Jadi, selalunya kalau melibatkan perkara-perkara besar seperti konsert atau ‘showcase’ memang saya akan berehat buat sementara waktu supaya dapat ‘recover’ semula peti suara dan dalam keadaan segar,” katanya kepada HibGlam semasa majlis pengumuman konsert Hael Husaini Antonim Night, semalam.

Tambah pelantun lagu Jampi itu, penjagaan kesihatan badan dan suara amat penting lebih-lebih lagi apabila terlibat dalam persembahan yang memerlukan tenaga dan vokal yang mantap.

“Itu memang perkara yang harus dilakukan apabila ada konsert atau ‘showcase’ terutamanya kalau melibatkan benda-benda yang berbayar. Boleh dikatakan eksklusiviti tersebut harus dijaga sebelum naik pentas.

“Dari segi kesihatan pula, sebagai penyanyi kita kena faham keadaan tubuh sendiri.

“Kalau saya, memang dah pastikan pengambilan suplemen seperti vitamin C harus dijaga,” ujarnya.

Selain itu, konsert Hael Husaini Antonim Night yang bakal berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya pada 31 Mei ini mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis dijual dalam masa 17 minit.

Konsert tersebut dianjurkan oleh Mask Team dan Usanita Entertainment. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok