PEMPENGARUH media sosial, Cik Epal mencuri tumpuan selepas melontarkan kenyataan berbaur sinis terhadap bekas suaminya, Jofliam yang selamat bernikah dengan wanita pilihannya, Emira Delyati Dewi, pagi tadi.
Menerusi satu hantaran dalam Instagram, Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud, 34, memberi ucapan tahniah kepada bekas suaminya, namun disertakan sindiran tajam yang dipercayai ditujukan kepada pengantin baharu berkenaan.
“Tahniah Han dan Yuki dapat bibik baru. Untuk Dewi, semoga berjaya layan tantrum abang.
“Jaga abang elok-elok sebab abang memang lemah dengan perempuan macam kau.
“Kalau takut abang curang lagi, bolehlah sorok abang dalam almari,” tulisnya.

Lebih tajam, janda dua anak itu turut mendoakan pasangan tersebut agar berbahagia hingga ke neraka.
“Kepada pasangan penyondol suami dan isteri orang, semoga berbahagia hingga ke neraka.
“Kamu memang diciptakan untuk ke neraka bersama,” katanya.
Terdahulu, perkahwinan Jofliam atau nama sebenarnya Jofli Abu Bakar, 36, dan Dewi menjadi perhatian ramai selepas foto pasangan tersebut dalam busana serba putih tular dalam media sosial.
“Alhamdulillah, tahniah Jofliam,” tulis salah seorang kru majlis perkahwinan menerusi akaun @Munstara.Event.
Kisah percintaan Jofliam dan Dewi atau nama sebenarnya Emira Delyati Dewi mula mencuri perhatian umum apabila wanita terbabit dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga Cik Epal dan suaminya.
Pada Januari lalu, Jofliam secara terbuka mengaku sedang dilamun cinta dan merancang untuk bernikah.
“Saya sedang bercinta dan sedang bahagia. Saya akan bernikah. Jadi ada piza percuma untuk semua,” tulisnya di Instagram ketika itu.
Untuk rekod, Jofliam dan Cik Epal berkahwin pada 1 Jun 2014 sebelum bercerai 9 Oktober tahun lalu.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Han dan Yuki. – HIBGLAM.