‘Saya bantu wanita melihat potensi diri, berani melangkah ke hadapan’

PERNAH berdiri di tengah gemerlap pentas sebagai penyanyi, kini figura bernama Nourul Depp melencongkan halauan apabila mahu lebih berbakti menyuluh jalan wanita lain yang sedang tercari-cari cahaya dalam kehidupan menerusi program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis) 2026.

Lebih tiga dekad bergelumang dalam dunia seni, pengalaman sebagai usahawan dan perjalanan mengenal diri membawa pemilik nama lengkap Noorulhuda Abdul Wahab, 49, satu ruang berbeza iaitu pembangunan diri, kepimpinan dan pemerkasaan wanita.

Selaku jurulatih bertauliah, Nourul mengakui pemilihan kali kedua sebagai penceramah program berkenaan bukan sekadar pengiktirafan terhadap dirinya, malah peluang berkongsi pengalaman dan membantu wanita lain melihat semula potensi yang mungkin selama ini terpendam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya amat bersyukur kerana sekali lagi diberi peluang bersama Perantis. Bagi saya, menjadi seorang wanita pemimpin bukan hanya tentang gelaran atau kedudukan.

“Paling penting, apa yang kita lakukan dengan menyentuh kehidupan wanita lain, membantu mereka melihat potensi diri dan menyuntik keberanian melangkah ke hadapan,” katanya.

MISI kebangkitan semula wanita diterjemahkan Nourul menerusi Firetalk, platform pembangunan diri yang diasaskannya berdasarkan pengalaman hidup dan proses transformasi dirinya sendiri.

Program bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) tersebut bakal berlangsung di Tamu Hotel Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober depan.

Selain Nourul sebagai penceramah jemputan, program berkenaan turut menampilkan jurusolek tersohor juga ahli perniagaan, Datuk Seri Alha Alfa dan penyanyi, Atilia selaku pengajar jemputan.

Perantis diwujudkan bagi membangun bakat kepimpinan wanita menerusi perkongsian ilmu, bimbingan serta pengalaman daripada barisan pemimpin dan tokoh wanita berjaya.

Untuk 2026, KPWKM memperuntukkan RM4 juta bagi pelaksanaan program berkenaan dengan sasaran membabitkan 80 pemimpin wanita dan 4,000 peserta di seluruh negara.

Di sebalik angka dan program rasmi berkenaan, Nourul hadir dengan satu misi lebih dekat dengan jiwanya iaitu membantu kaum Hawa membina semula keyakinan diri dan berani memilih arah baharu dalam kehidupan.

Misi diterjemahkan menerusi segmen Firetalk, platform pembangunan diri yang diasaskannya berdasarkan pengalaman hidup serta proses transformasi diri sendiri.

Firetalk memberi tumpuan kepada kesedaran diri, kecerdasan emosi, ketahanan diri, pemikiran serta transformasi peribadi dengan pendekatan mengajak wanita berhenti seketika demi memahami diri mereka.

“Bagi saya, Firetalk lebih kepada ruang bagi wanita berhenti seketika, melihat ke dalam diri, berani berdepan cabaran, memproses luka dan kemudian meraikan diri mereka,” ujarnya.

PROGRAM bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Pembangunan Wanita itu bakal berlangsung di Tamu Hotel Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Oktober ini.


Simbol transformasi

Kerjasama Nourul bersama Perantis 2026 dilihat sebagai kesinambungan kepada misi tersebut apabila pengalaman transformasi diri dibawa ke dalam konteks pembangunan kepimpinan wanita.

“Saya percaya kepimpinan tidak semestinya bermula dengan jawatan atau gelaran. Kadangkala bermula apabila seorang wanita membuat keputusan untuk percaya kepada dirinya sendiri sekali lagi,” katanya.

Perjalanan Nourul sendiri menjadi bukti bahawa kehidupan tidak pernah berhenti pada satu bab, daripada penyanyi yang memulakan kerjaya sejak usia muda, dia melalui pelbagai fasa sebelum terjun ke arena keusahawanan, pembangunan diri dan ‘coaching’.

“Muzik mengajar saya tentang hubungan dengan manusia. Kehidupan mengajar saya mengenai ketahanan. ‘Coaching’ pula memberi ilmu dan alat untuk membantu orang lain. Firetalk menjadi ruang menggabungkan kesemuanya,” katanya.

Sebagai misalan, tahun 2026 menyaksikan satu lagi impian peribadi Nourul menjadi kenyataan apabila berjaya merealisasikan konsert solo pertama, For You: Nourul, di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert tersebut meraikan perjalanan lebih tiga dekad dalam industri muzik selain simbol keberaniannya untuk bermimpi semula, bangkit dan membuka lembaran baharu dalam kehidupan.

Kini menerusi Perantis 2026, Nourul mahu membawa mesej bahawa usia, masa lalu atau pengalaman pahit tidak seharusnya menjadi ‘penjara’ kepada seseorang wanita. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok