Potong bawang untuk raya pun, Julia Farhana pakai ‘goggles’

BENARLAH bagai dikata, perkahwinan mengajar banyak perkara baharu kepada setiap individu
biarpun adakalanya tidak semua membahagiakan.

Itulah yang terjadi kepada pelakon Julia Farhana apabila akhirnya dia dapat merasai nikmat menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas berkahwin dengan suaminya iaitu Dr. Che Hafiz sejak
dua tahun lalu.

Menurut Julia atau nama lengkapnya Julia Farhana Marin, 31, sebelum berkahwin dia tidak
pernah beraya seperti umat Islam yang lain.

“Sepanjang hidup saya tak pernah rasa beraya itu apa. Ibu saya orang Sabah, bapa pula orang
Itali. Saya pula membesar di Australia. Jadi saya tak pernah tahu sambutan raya itu macam
mana.

“Hari raya saya dahulu cuma makan tengah hari bersama ibu dan adik-beradik. Lepas itu saya
akan pergi bercuti.

“Bila sudah berkahwin baru saya dapat merasai macam mana sambutan hari raya Aidilfitri. Dua
tahun lepas adalah raya saya yang pertama,” katanya.

Kampung

Setiap kali raya, Julia akan pulang ke kampung halaman suaminya di Kelantan. Di situlah dia
mula mengenal erti sebenar nikmat menyambut hari raya bersama sanak-saudara.

“Selepas solat subuh saya ke dapur lihat suasana sangat meriah. Baru saya faham inilah dia
hari raya. Kami saling bantu membantu di dapur. Saya rasa sangat seronok.

“Keluarga suami pula sangat besar. Seminggu tu tak habis nak melawat saudara mara dia. Jika
dahulu raya saya sangat relaks, tetapi kini saya sangat sibuk menziarahi sanak- saudara
sebelah suami,” kongsinya teruja.

Ditanya tentang persiapan raya, kata pelakon filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang itu, dia
bertuah kerana ibu mentuanya sudah menyediakan segalanya di kampung.

“Mentua saya sudah sediakan segala keperluan raya di Kelantan. Saya cuma perlu tolong
apa-apa yang patut sahaja.

“Goreng ayam atau potong bawang. Saya terpaksa pakai ‘goggles’ untuk potong bawang
kerana kita memasak untuk 30 orang makan. Jadi bayangkan saya kena potong bawang
banyak mana,” cerita Julia panjang lebar.

Tambahnya juga, mentua ada menu istimewa yang disediakan di hari raya iaitu nasi ayam yang
menggunakan resipi istimewa.

“Sekarang saya sudah mahir masak nasi ayam resepi ibu mentua.

“Dari segi baju raya pula, alhamdulillah tahun ini saya dapat tajaan daripada beberapa pereka
fesyen. Saya pun tak suka membazir nak beli banyak baju. Selalunya saya akan kitar semula
baju-baju lama.

“Suami pun seorang yang sangat ringkas. Dia pun suka kitar semula pakai baju-baju yang
sudah ada dalam koleksi dia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Julia baru sahaja tamat penggambaran program Property Hunter
dan akan kembali fokus pada pelajarannya kerana bakal menghadapi peperiksaan pada bulan
hadapan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok