DEMI single baharu, penyanyi Emma Suhaimi nekad menjaga pengambilan makanan serta bersenam sehingga akhirnya dapat ‘menghilangkan’ berat badan sebanyak 16 kilogram (kg) dalam tempoh enam bulan.
Emma, 37, berkata perubahan fizikal itu merupakan antara persediaan dalam memastikan kemunculan semula di arena muzik bersama lagu Tersakiti membawa imej lebih segar.
“Lagu Tersakiti mempunyai makna tersendiri buat saya apabila dapat tampil dengan single kedua selepas 16 tahun.
“Takkan tiada apa-apa perubahan antara Emma dahulu dan Emma sekarang, jadi saya rasa perlu melakukan sesuatu supaya kelihatan lebih kemas.
“Imej sebegini ‘nampak’ dalam masa enam bulan. Bukan nak cantik, tetapi saya mahu lebih sihat, malah ini juga persiapan demi Tersakiti,” katanya ketika pelancaran lagu itu di Hard Rock Cafe, semalam.
Berkongsi perjalanan menurunkan berat badan, kakak kepada penyanyi Adira itu berkata, dia memulakan diet sekitar penghujung Mac lalu selepas berat badannya pernah mencecah 80 kilogram.
Malah Emma juga mengakui masih meneruskan rutin menjaga pengambilan makanan selain melakukan aktiviti mengeluarkan peluh bagi mendapatkan berat badan ideal sekitar 52 kg.
“Saya memang jaga makan. Ayam goreng memang antara makanan yang saya suka, tetapi sekarang semuanya kena kawal.
“Apa pun saya tidak pernah meninggalkan sarapan. Kalau ambil sarapan yang tinggi protein pada waktu pagi, kita akan kurang rasa lapar.
“Petang pula kalau mahu makan, saya ambil tembikai atau jeruk timun. Saya boleh makan tembikai berkali-kali. Itulah menu ruji saya sepanjang fasa enam bulan ini,” ujarnya.
Selain mengawal pemakanan, Emma turut aktif melakukan senaman termasuk berjalan serta aktiviti mendaki bagi membantu mencapai sasaran berat badan.
Kongsinya lagi, perubahan fizikal dari sekitar 50 kg pada usia 20-an turut didorong pengalaman berdepan komen mengenai bentuk badannya termasuk ‘body shaming’.
“Sebenarnya saya sudah lali dengan ejekan. Kadang-kadang sakit juga apabila orang cakap kita gemuk, tapi lama-lama kita dah jadi lali.
“Kita berisi bukan sebab terlalu gembira atau kecewa. Ketika itu macam tidak ada benda lain hendak difikirkan, sudahnya makan sahaja. Salah sendiri tak jaga makan.
“Pernah (bekas) teman lelaki sendiri tegur, cuma akhirnya kesedaran nak berubah hadir jua. Biarpun agak lambat saya bersyukur dapat sokongan orang sekeliling,” katanya.
Pada masa sama, penyampai radio Era Sabah ity mengakui bukan hanya perubahan fizikal yang perlu dilakukan, malah dia kini lebih bersedia berdepan kecaman selepas kembali aktif menyanyi.
“Dulu saya tidak kalis kecaman. Saya sangat sensitif dan berhati tisu. Tetapi sekarang, insya-Allah saya semakin kuat.
“Mahu atau tidak, kita kena hadap komen termasuk kritikan. Kita perlu belajar menerima hakikat bahawa kita ini menjadi tontonan umum,” katanya.
Sementara itu, mengenai Tersakiti, itu merupakan nukilan komposer Indonesia, Ilham Baso yang menyentuh perasaan kerana realiti masyarakat kini yang memilih memendam rasa demi mempertahankan ikatan. – HIBGLAM

