PELAKON Fazlina Ahmad Daud menegaskan teguran terhadap penampilan Aisha Retno yang menghadiri acara Keretapi Sarong 2026 adalah disebabkan enggan penyanyi tersebut dihambat kecaman netizen.
Menurut Fazlina, dia bertindak sedemikian selepas melihat terdapat belahan pada bahagian tengah hadapan kain batik yang digayakan Aisha.
“Dalam satu video, mata saya tertumpu kepada belahan kain batik yang dipakai Aisha.
“Sebagai seorang kakak yang ternampak perkara sebegitu memang risau kalau ternampak perkara akan mengaibkan dirinya.
“Kalau kain itu labuh sedikit atau mungkin terus buat skirt panjang lebih elok sebab takut bila dia berjalan dan ternampak aurat Aishah, nanti jadi isu lain pula,” katanya di sini, semalam
Dalam pada itu, dia juga menjelaskan tidak berlaku sebarang permusuhan dengan Aisha hanya disebabkan komen yang ditinggalkan itu.
“Saya kemudiannya buat permohonan maaf dalam Threads sekiranya teguran itu mengguris hati Aisha dan juga pereka busana tersebut. Teguran sayang saja.
“Selepas itu ada pula yang komen bagitahu saya tak perlu minta maaf. Bukan begitu, kita tak tahu dosa kita dengan orang. Jadi walaupun benda itu betul tapi wajib untuk minta maaf.
“Risau kalau ada mana-mana pihak yang terguris. Bukan sahaja Aisha tetapi peminat, pengurus, mak atau pereka bajunya,” katanya lagi.
Dia turut memaklumkan berasa kasihan melihat artis muda menjadi sasaran kecaman netizem hanya kerana penampilan mereka.
“Saya sangat mengagumi Aishah dari segi suara dan penampilan, cuma kadang-kadang sebagai kakak dalam industri, kasihan bila tengok adik-adik ini kena kecam.
“Pakai sikit saja, ada yang nak kecam dan cara mereka komen adakalanya sangat kejam,” ujarnya.
Terdahulu, Fazlina menegur gaya Aisha yang memakai kain batik singkat dan terbelah ketika menghadiri acara Keretapi Sarong 2026.
Komen tersebut seterusnya mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna Threads mengenai fesyen penyanyi tersebut.
Fazlina kemudiannya tampil membuat permohonan maaf sekiranya komen yang ditinggalkan mengguris hati Aisha dan mana-mana pihak yang terlibat. – HIBGLAM

