BERDEPAN masalah kewangan, usahawan Datuk Seri Adnan, 47, atau lebih dikenali sebagai Datuk Red terpaksa tinggal di sebuah bilik di Sungai Buloh yang tiada tandas.
Menurut bekas suami penyanyi Adira Suhaimi itu, setiap kali mahu membawa anak-anak bermalam pada hujung minggu, dia akan bawa mereka singgah di mana-mana tandas berdekatan sebelum tiba di tempat tinggalnya.
“Bilik saya tiada tandas. Kadang-kadang hujung minggu saya bawa anak, sebelum sampai saya akan singgah mana-mana tandas.
Bilik itu awalnya nak buat pejabat, ada penghawa dingin dan berharga RM250 sebulan. Tetapi saya tidak tahu pula tiada tandas.
“Namun, sebab dah terambil saya teruskan sahajalah,” katanya dalam sebuah audio siar.
Bekas suami kepada penyanyi Adira itu turut memaklumkan bahawa kawasan Rehat dan Rawat (R&R) menjadi tempatnya membersihkan diri.
R&R mana je memang dah kenal saya. Pengawal keselamatan, tukang cuci dan pemandu lori kebanyakan semua dah kenal saya.
“Tidur pun dalam kereta saya okey, dah biasa.
“Saya mandi pun di R&R, di situlah tempat saya buat siaran langsung TikTok,” ujarnya lagi.
Dalam audio siar tersebut, Red mengakui berada dalam fasa berjimat cermat dan masih berusaha bangkit untuk melangsaikan hutang yang mencecah RM7 juta.
Sebelum ini, dia sanggup berniaga kecil-kecilan dan sudah melangsaikan bayaran sebanyak RM30,000. – HIBGLAM