PEMPENGARUH, Ameera Khan sekali lagi mencuri perhatian selepas mengakui pernah terdetik mahu mahu meninggalkan Malaysia kerana berasakan dirinya dikelilingi individu bersikap toksik.
Menurut Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 25, keputusan itu bukan disebabkan kebencian terhadap negara, sebaliknya demi ketenangan dan kesejahteraan mental.
“Saya dah lama rasa mahu tinggalkan Malaysia.
“Jangan salah anggap, saya sayangkan negara saya.
“Bagi saya, lebih baik saya keluar daripada tinggal di sini bersama orang yang mempunyai fikiran toksik,” katanya menerusi sesi soal jawab dalam Instagram Story.
Tambah adik kepada selebriti popular Neelofa itu, dia percaya akan suatu hari nanti akan tiba masanya untuk dirinya berhijrah ke tempat lebih sesuai dengan jiwanya.
“Saya pasti satu hari nanti bila saya sudah bersedia, saya akan ke tempat yang saya boleh jadi diri saya sendiri.
“Saya akan ke tempat di mana saya akan diterima dan tentunya bukan di sini,” ujarnya
Pengakuan terbuka tersebut pantas mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya meminta Ameera lebih banyak muhasabah diri.
“Kalau tak tahan dengan komen netizen, jauhkan diri dari media sosial. Bukan salah orang sekeliling, awak yang mengundang,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Duduk luar negara pun tetap kena kecam kalau perangai sama juga,” kata seorang netizen.
“Sebelum salahkan orang lain, tengok balik diri sendiri dulu. Mungkin ada benda yang kita kena perbaiki,” komen seorang netizen lain.
Terdahulu, nama Ameera terus menjadi sasaran kritikan bukan sahaja disebabkan pakaian terlalu mencolok mata malah dek hubungan romantiknya dengan aktor Indonesia, Jefri Nichol yang didakwa terlebih mesra persis pasangan sudah berkahwin.
Minggu lalu, pasangan itu sekali lagi menjadi perhatian selepas Ameera memuat naik foto terlebih mesra mereka ketika pelakon filem Ali Topan itu berkunjung ke Kuala Lumpur sehingga membuatkan netizen meluat dan menyampah. – HIBGLAM