BELUM sempat perasaan peminat yang teruja melihat wajah kacaknya secara dekat reda, pelakon popular China, Cheng Lei sudah ‘menyerang’ hati mereka dengan senjata paling ampuh iaitu bahasa Malaysia.
“Apa khabar, saya cinta kamu!” demikian ungkapan manis yang dilontarkan Cheng Lei ketika kemunculannya pada acara iQIYI Starship 2026 di Sunway Velocity Mall, semalam.
Meskipun hanya beberapa patah perkataan, keberanian bintang How Dare You!? itu mencuba bahasa tempatan cukup untuk membuatkan suasana di lokasi bertukar gamat dengan sorakan khalayak.
Tidak perlu menunggu adegan romantik seperti yang sering dipertontonkan menerusi drama, Cheng Lei seakan-akan sudah menemui formula sendiri untuk ‘mencairkan’ hati peminat Malaysia apabila memilih menyapa menggunakan bahasa Melayu.
Sebutannya mungkin belum sempurna, namun itulah yang menjadikan momen tersebut lebih menghiburkan dan dekat dengan peminat apatah lagi dibibirnya tidak lekang memuji keramahan masyarakat tempatan.
Jelas, aktor popular berusia 32 tahun itu tidak takut untuk mencuba biarpun menyedari dirinya bukan penutur asli bahasa Melayu.
Setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut Cheng Lei pantas disambut jeritan dan tepukan, manakala telefon bimbit peminat pula tidak henti merakam detik berharga itu.
Tidak hairan, sepanjang lebih sejam kemunculan di pantas pusat beli belah itu setiap gerak-geri Cheng Lei seolah-olah mempunyai ‘ltarikan magnet.
Senyuman sahaja sudah cukup mencetuskan sorakan, apatah lagi apabila dia mula berinteraksi secara langsung dengan peminat pada sesi ramah mesra itu.
Kemunculan sulungnya di Malaysia itu juga terasa lebih istimewa kerana peminat selama ini hanya berpeluang menyaksikan Cheng Lei menerusi skrin, khususnya melalui watak-watak yang dilakonkan dalam drama popular.
Daripada karakter yang penuh karisma dalam How Dare You!? dan Shadow Love sehinggalah penampilannya dalam Legend of the Female General serta My Journey to You, Cheng Lei membina kelompok peminat yang bukan sahaja mengenali lakonannya, malah mengikuti perkembangan dirinya di luar set penggambaran.
Namun, semalam, peminat berpeluang melihat sisi Cheng Lei yang jauh lebih santai dan bersahaja apabila sisi humornya jelas terserlah ketika menjawab soalan ramai serta melakukan pelbagai aktiviti bersama peminat.
Apa pun, Cheng Lei mampu menyesuaikan diri dengan suasana Malaysia serta melayan gelagat peminat yang sudah lama menantikan kehadirannya.
Menariknya, selain mengajar bahasa Melayu, peminat juga mengambil kesempatan memperkenalkan agenda wajib kepada Cheng Lei iaitu mencuba makanan tempatan.
Antara cadangan yang paling mendapat perhatian ialah nasi lemak, makanan ikonik Malaysia yang sememangnya sukar dipisahkan daripada identiti kulinari negara ini.
Cheng Lei terbuka menerima saranan tersebut malah menyatakan kesediaan merasai sendiri nasi lemak, sekali gus mencetuskan keterujaan peminat yang seperti mahu menjadi ‘penasihat makanan’ peribadinya sepanjang berada di negara ini.
Apa yang jelas, keterbukaan Cheng Lei menerima cadangan membuktikan kunjungan ke Malaysia tidak hanya memenuhi komitmen sebagai Duta Global iQIYI International, bahkan turut menjadi peluang mengenali budaya tempatan dengan lebih dekat.
Jika ada satu perkara yang paling menonjol daripada kemunculannya semalam, sudah pasti bukan sekadar populariti atau rupa parasnya tetapi usaha kecil membina hubungan dengan peminat Malaysia.
Daripada satu ayat mudah, “Apa khabar, saya cinta kamu”, sehingga kesediaan mencuba nasi lemak, Cheng Lei menjadikan kemunculan pertama di Malaysia sebagai sebuah memori yang lebih peribadi dan bermakna.
Nyata daripada respons ditunjukkan penggemar setia yang menyambutnya dengan tangan terbuka, figura tinggi lampai itu tidak perlu menunggu lama untuk kembali lagi ke negara ini. – HIBGLAM
