Isu Palestin, stesen radio Malaysia digesa ‘gam’ lagu Ed Sheeran

DEMI solidariti kepada penduduk Gaza, stesen radio tempatan digesa menghentikan penyiaran lagu penyanyi popular Britain, Ed Sheeran, susulan kontroversi membabitkan isu Palestin yang hangat diperkatakan di media sosial.

Gesaan tersebut disuarakan ramai pengguna platform Threads yang meminta semua saluran penyiar sepakat mengambil pendirian tegas dengan tidak lagi memainkan lagu penyanyi berusia 35 tahun itu atau berdepan tindakan diboikot pendengar.

“Boleh tak kita boikot radio yang masih senaraikan dan mainkan lagu Ed Sheeran,” kongsi seorang pengguna Threads.

Gesaan tersebut difahamkan susulan perkembangan terbaharu kontroversi pengguguran rapper Amerika Syarikat, Macklemore daripada senarai penyanyi pembuka persembahan bagi baki jelajah Loop Tour Ed Sheeran di Amerika Utara.

Hal ini kerana, rakan seperjuangan yang dikenali penyanyi merangkap komposer berkenaan sejak 13 tahun lalu itu didakwa terlalu lantang menyuarakan nasib Gaza dan Palestin di pentas.

Begitupun, dakwa Sheeran, keputusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa beberapa entiti lain termasuk pemilik stadium yang membuat bantahan andai Macklemore masih bersama rombongan tersebut.

Sheeran turut menjelaskan bahawa dia sudah berbincang dengan penganjur, penyedia venue dan beberapa pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian, namun keputusan akhir bukan berada di tangannya.

Pemenang empat Anugerah Grammy itu sebelum ini secara terbuka menyuarakan sokongan terhadap Palestin termasuk melaungkan seruan ‘Free Palestine’ ketika membuat persembahan selain mendendangkan lagu protesnya, Hind’s Hall.

Kontroversi itu terus merebak di media sosial apabila pengguna Threads mula membincangkan agar tindakan yang boleh diambil terhadap lagu-lagu Sheeran di stesen radio tempatan.

Sheeran merupakan antara nama besar dalam industri muzik dunia dengan sejumlah lagu popular yang kerap menjadi pilihan stesen radio, termasuk Shape of You, Perfect, Thinking Out Loud dan Photograph.

Sementara itu, menerusi hantaran lain, netizen turut menyeru agar tindakan gam juga dikenakan terhadap seorang lagi penyanyi Amerika Syarikat juga penyokong tegar Israel, Pink yang mengutuk kelantangan Macklemore. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok