‘Drama hanya 3 minit, banyak kali ‘take’

SELEPAS kejayaan beberapa drama pendek, laman penstriman popular Viu kini muncul dengan drama pendek berdurasi tiga minit, Tiada Seperti Leyla. 

Drama romantik komedi sebanyak 30 episod itu menampilkan gandingan sulung, Rita Nadira dan Alvin Chong.

Menurut Rita antara cabaran berlakon dalam drama pendek adalah reaksi dan momen yang diberikan harus cepat dan padat.

“Sebelum ini saya pernah buat drama pendek 15 minit satu episod, tetapi drama Tiada Seperti Leyla paling pendek sebab tiga minit sahaja.

“Jika drama biasa saya boleh bereksperimen dengan reaksi dan mengambil masa untuk momen-momen dalam drama, tetapi drama pendek harus terus ke isinya tiada meleret-leret,” kata Rita.

Selain itu, tambah Rita atau nama sebenarnya, Rita Nadira Mohd. Ritamurni, 27, dia dan Alvin harus melakonkan satu-satu babak secara berulang demi mendapat kesempurnaan.

“Cabaran lain adalah perlu banyak kali ‘take’ sebab pengarah mahu kami beri reaksi wajah yang tepat dan masa sama perlu menjaga masa supaya tidak melebihi tiga minit untuk satu episod.

“Cuma saya seronok berlakon drama romantik komedi kerana lebih ringan saya tidak perlu menangis sebab saya seorang yang sangat susah untuk keluarkan air mata,” ujar Rita mula dikenali dengan watak antagonis.

Keserasian

Meskipun pertama kali bekerjasama dan tidak pernah rapat, Alvin dan Rita cukup serasi sepanjang di set penggambaran.

“Sebelum ini ada sekali dua sahaja saya berjumpa dengan Rita di acara hiburan tetapi hanya bertegur sapa.

“Mula jumpa memang kekok, tetapi kami okey walaupun durasi penggambaran pun cukup pendek iaitu tiga hari sahaja,” jelas Alvin.

LAMA tiada naskhah besar menyerikan televisyen. Rita Nadira kini menghiburkan penonton dengan drama Tiada Seperti Leyla menerusi saluran Viu.

Berbicara lanjut tentang karier lakonan, Alvin yang kini popular sebagai pempengaruh fesyen mengakui wajah jambu yang dimilikinya serta status sebagai pelakon berketurunan Cina membuatkan watak yang ditawarkan kepadanya agak terhad.

“Jika boleh saya mahu membawa watak aksi dan antagonis, tetapi kebiasaannya orang akan kata wajah saya tidak nampak jahat.

“Sebab itu, saya sanggup masuk kelas seni mempertahankan diri dan menggelapkan kulit sedikit demi memperoleh watak-watak yang lebih mencabar,” tutur Alvin.

Sementara itu, penerbit drama Adila Ramly daripada Global Station Sdn. Bhd. menegaskan pihaknya bersedia untuk meneroka potensi trend drama terbaharu demi kepuasan penonton.

“Trend drama pendek ini bermula di China dan semakin ramai orang menyukainya kerana tidak perlu menghabiskan masa yang panjang untuk selesai tonton sesebuah drama,” kata Adila.

Drama Tiada Seperti Leyla telah mula ditayangkan dalam aplikasi Viu dan TikTok Viu Malaysia bermula 7 April lalu.

Antara pelakon yang turut membintangi drama ini ialah, Emelda Rosemila, Zera Hariz dan Manan Sulaiman.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok