TV AlHijrah perjuangkan karya ‘bersih’, patuh syariah

TATKALA platform lain semakin rancak dihujani kisah sarat kontroversi, TV AlHijrah memilih haluan tersendiri dengan mengetengahkan karya lebih bersih, beradab serta dekat dengan denyut kehidupan masyarakat.

Dalam dunia hiburan penuh persaingan, stesen berkenaan mahu membuktikan dakwah juga mampu hadir dalam bentuk cerita menarik tanpa menggadaikan batas agama dan sensitiviti penonton.

Selepas sekian lama kandungan fiksyen sering dikaitkan dengan formula cinta, konflik rumah tangga dan pelbagai polemik sosial, TV AlHijrah tampil membawa nafas berbeza menerusi empat karya baharu terdiri daripada dua telefilem dan dua drama bersiri.

Empat judul berkenaan ialah Bersuara Tapi Tak Didengar, Mistik Bilik Mayat, Ghost Buskers dan Azan Terakhir Seorang Banduan, merentasi genre drama perundangan, misteri, paranormal, dakwah serta kemanusiaan.

Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar yakin dengan taruhan terbaharu stesen terbabit. – FIRDAUS JOHARI / TV ALHIJRAH

Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, pemilihan karya berkenaan dibuat dengan meneliti kekuatan cerita, nilai serta isu semasa agar kandungan mampu menghiburkan sambil meninggalkan kesan kepada penonton.

“Bagi TV AlHijrah, drama bukan hanya ruang untuk bercerita atau menghiburkan. Drama juga menjadi medium untuk membawa penonton melihat semula realiti di sekeliling mereka.

Persoalan tentang prasangka, keadilan, kepercayaan, taubat dan peluang kedua semuanya dekat dengan kehidupan manusia. Kami mahu nilai Islam hadir secara semula jadi melalui cerita serta perjalanan watak, bukan melalui mesej secara terus semata-mata,” katanya kepada HibGlam.

Pendekatan sedemikian senada dengan Ketua Pegawai Operasi (COO) TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, apabila pihaknya melihat keperluan menghasilkan kandungan fiksyen berteraskan nilai Islam dalam pasaran tempatan.

“Dalam pasaran sekarang, agak sukar untuk mendapatkan drama bersiri patuh syariah. Banyak naskhah membawa kisah kecurangan, merampas pasangan atau isu berkaitan akidah, moral dan sensitiviti masyarakat.

Jadi, TV AlHijrah terpanggil menyediakan drama dengan nilai serta kandungan lebih segar. Kami mahu penonton melihat karya patuh syariah dengan jalan cerita menarik, mempunyai persoalan masyarakat, nilai serta batas tertentu.

“Setiap skrip atau drama diterima akan melalui penelitian panel, termasuk Unit Patuh Syariah. Kami lihat sama ada kandungan itu sesuai atau terdapat perkara kontroversi perlu diperbaiki. Ada skrip kami ubah selepas proses penilaian,” ujarnya.

Tambah Nadzariah, proses menghasilkan karya tersebut turut melibatkan kerjasama rapat antara TV AlHijrah dengan penulis skrip, pengarah, penerbit serta pelakon bagi memastikan naskhah akhir memenuhi hala tuju stesen.

Malah, pemilihan empat naskhah terbabit sudah dilakukan sejak peringkat awal melalui proses pembentangan, penilaian skrip serta penelitian kandungan sebelum dipersetujui untuk diterbitkan.

“Skrip dinilai mengikut garis panduan patuh syariah dan pemilihan dibuat melalui panel. Ini merupakan naskhah terakhir bagi tahun ini, terdiri daripada dua telefilem dan dua drama bersiri.

Usaha ini juga sebahagian daripada dakwah media kami. Dakwah tidak terhad kepada ceramah atau tazkirah. Drama juga boleh menjadi medium dakwah apabila kandungannya dibina dengan nilai serta batas agama,” jelasnya.

Membuka tirai pada 6 September lalu ialah naskhah arahan Heykal Hanifah, Bersuara Tapi Tak Didengar, lakonan Nafiz Muaz, Rusdi Ramli dan Datuk Hilal Azman yang mengetengahkan seorang peguam muda menghidap sindrom Tourette serta berdepan diskriminasi dalam dunia profesional.

Sementara itu, Mistik Bilik Mayat lakonan Khir Rahman, Siti Elizad dan Datuk Fauziah Nawi di bawah arahan Rashid Sibir pula bersiaran pada 22 September hingga 26 Oktober yang membawa penonton menyelami dunia kematian, pengurusan jenazah serta pengebumian.

Kelainan diteruskan menerusi drama Ghost Buskers, arahan Eoon Shuhaini dan dilakonkan UNIC, Nabila Razali, Sharifah Rose dan Jazmy Juma yang bersiaran dari 20 Oktober hingga 16 November menggabungkan dunia nasyid, dakwah, ruqyah serta penyiasatan paranormal.

Satu lagi karya ialah Azan Terakhir Seorang Banduan, arahan Jamal Khan dibintangi Redza Rosli, Rosnah Johari, Zaidi Omar dan Amir Khan, serta dijadualkan bersiaran pada 11 Oktober 2026.

Kesemua judul berkenaan boleh diikuti menerusi aplikasi AlHijrah Plus (AH+) mengikut jadual ditetapkan sebelum ditayangkan di saluran TV AlHijrah seminggu kemudian. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok