KURANG aktif menggunakan media sosial, pelakon Shahz Jaszle semakin menyedari kepentingan platform terbabit dalam mendekati khalayak dengan lebih kerap memuat naik hantaran.
Shahz atau nama sebenar, Mohd Shahrizal Jaszle Jasmi, 36, berkata, sebagai pelakon antara perkara disoal produksi sebelum mengajukan tawaran adalah berkenaan Instagram, TikTok dan seumpamanya.
“Zaman berubah, sekarang orang lebih tengok media sosial berbanding kualiti lakonan tetapi sebagai penggiat seni saya perlu akur dan mengikut trend semasa apabila sebelum ini saya kurang aktif memuat naik perkongsian.
Pada era kini, jika mahu mencari penaja, mereka bertanya ada akaun media sosial atau tidak. Begitu juga lakonan. Ada beberapa penerbit yang minta saya aktif dalam media sosial. Mereka kata capaian lebih banyak di situ.
“Saya ikut sahaja permintaan sebab daripada situ kita juga dapat dekati khalayak penonton dan kukuhkan jenama diri,” katanya ketika ditemui pada pratonton telefilem terbitan RTM, Sebalik Balik di Wisma TV Angkasapuri, baru-baru ini.
Menurut pelakon Senyawa itu, dia bertuah kerana dibantu isterinya, Hanis Husna yang memberi idea berkenaan konten, membantu merakamkan momen selain ligat ‘menaikkan’ hantaran.
Isteri saya menjadi pempengaruh sejak lebih setahun lalu dan pada masa sama bergelar pengurus saya. Jadi dia banyak tolong fikirkan pengisian serta jaga akaun media sosial saya,” ujarnya.
Walaupun mengakui platform maya membuka peluang kepada penggiat seni, Shahz tidak bersetuju andai pemilihan pelakon untuk sesuatu naskhah dibuat berdasarkan populariti dalam media sosial.
“Bagus sebenarnya untuk pendedahan kita. Saya pun kadang-kadang tidak tahu hendak letak apa dalam media sosial.
Kalau tidak buat hantaran fasal kerja, nanti orang fikir saya tiada kerja pula. Perkara ini perlu saling memberi antara diri sendiri dan penerbit.
“Cuma jika pemilihan pelakon dibuat berdasarkan jumlah pengikut, bagi saya tak seronoklah. Sepatutnya kualiti dan disiplin jadi kriteria utama,” katanya.
Mengenai drama Sebalik Balik, aktor yang sudah 15 tahun berada dalam industri seni itu teruja apabila kembali beraksi dalam naskhah komedi selepas sekian lama menunggu peluang.
Selalunya saya bawa watak serius dan berat. Apabila dapat menggalas watak komedi, cabarannya lain apatah lagi dapat bergandingan dengan pelawak seperti Wahid Senario,” kongsinya.
Drama arahan Danny Alamsyah yang turut dibintangi Fathil Dani, Delimawati, Shiqin Kamal, Akmal Ahmad serta Farahdhiya itu akan disiarkan di slot Panggung RTM pada 22 Mac ini. – HIBGLAM