‘Darah kita sama’ KUDRAT 1968 teroka jurang darjat

KEJAYAAN fenomena naskhah-naskhah dalam francais High Council sebelum ini membuktikan bahawa penceritaan berani dan berteraskan realiti tempatan sentiasa mendapat tempat istimewa di hati penonton.

Memahami kehendak peminat yang dahagakan plot lebih mendalam dan bermakna, pihak produksi kini bersedia melangkah lebih jauh menerusi penerbitan prekuel terbaharunya, KUDRAT 1968: High Council.

Naskhah yang bakal menemui penonton pada 11 September nanti bukan sekadar sebuah karya hiburan biasa, sebaliknya menjadi projek bercita-cita tinggi yang menggabungkan empat episod siri drama serta sebuah naskhah filem utama.

Mengambil latar belakang era 1960-an yang sarat dengan suasana sejarah dan nostalgia, KUDRAT 1968 bakal membawa penonton menyingkap asal-usul kewujudan empayar serta sistem High Council yang pernah mencetuskan perdebatan hangat sebelum ini.

Pengarahnya, Zulaikha Zakaria menjelaskan, setiap penceritaan dalam francais ini sentiasa didasarkan dengan tema khusus yang mencerminkan realiti kehidupan.

“Setiap penceritaan dalam dunia High Council ada tema yang berbeza. Sebagai contoh, dalam High Council kami mengetengahkan isu buli, manakala dalam Kahar, fokusnya mengenai keganasan.

“Bagi KUDRAT 1968 pula, taglinenya adalah ‘darah kita sama’, kami kupas isu jurang darjat dan kelas sosial. Kami meluaskan skop penceritaan melepasi lingkungan dunia persekolahan semata-mata, merangkumi ruang di mana sistem hierarki wujud seperti dalam organisasi dan tempat kerja.

“Jadi, kami merasakan perkara ini sangat relevan kepada semua orang kerana apabila menyentuh soal status, kuasa dan pengaruh, ini wujud di mana-mana sahaja.

“Menerusi KUDRAT 1968, apa yang kami harap serta cuba lakukan bukan sekadar berkongsi bagaimana High Council bermula, tetapi juga untuk mempersoalkan sistem yang memisahkan kita dari segi kelas dan status. Itulah hakikat sebenar di sebalik penceritaan KUDRAT 1968,” katanya semasa majlis tayangan episod pertama drama terbabit, baru-baru ini.

ZULAIKHA menyifatkan format khas KUDRAT 1968 sebagai cabaran utama dalam francais High Council kali ini.

Zulaikha menyifatkan projek tersebut sebagai satu pendekatan berani yang berbeza daripada norma kebiasaan industri sinema tanah air.

Projek yang kami jalankan ketika ini merangkumi empat episod siri dan sebuah naskhah filem. Ini merupakan satu pendekatan yang berbeza.

“Meskipun mungkin pernah dibuat pihak lain sebelum ini, jurang masa tayangannya agak jauh, kadang-kadang sirinya keluar dahulu dan setahun kemudian barulah filemnya ditayangkan.

Tetapi bagi kami, situasinya tidak begitu. Kami barisan penulis duduk bersama selama kira-kira enam bulan hanya untuk menghadap serta memperincikan projek ini.

“Strukturnya agak berbeza dan diharap episod satu hingga empat dapat menjawab satu persoalan besar, sekali gus mencetuskan persoalan baharu yang lebih besar,” ujarnya.

Mengulas mengenai sokongan padu yang diterima sepanjang pembentukan karya ini, Zulaikha menzahirkan penghargaan kepada pihak studio atas kepercayaan untuk menterjemahkan visi kreatif tersebut.

“Sejujurnya, pihak Astro Shaw sangat menyokong kerana apa yang cuba kami lakukan ini adalah satu eksperimen yang menarik dan mungkin juga berisiko.

Kami sentiasa cuba menguji batas kemampuan. Jadi, saya bersama pasukan berharap episod satu hingga empat ini dapat menjawab soalan yang paling besar, seterusnya mencetuskan persoalan yang lebih mendalam.

“Jika mahu tahu, kenalah tonton. Itulah sahaja jawapan yang dapat saya berikan,” jelasnya.

MENJANJIKAN kelainan dan penceritaan lebih berani, matang dan menyentuh soal kelas sosial, KUDRAT 1968 akan mula menemui pelakon pada 11 September ini.

Selain struktur penceritaan, Zulaikha turut berkongsi cabaran terbesar yang dihadapi dalam mengendalikan barisan pelakon demi memastikan keberkesanan penjiwaan watak.

“Cabaran paling besar adalah format. Menerusi High Council, mungkin cara saya dan Anwari hasilkan naskhah tersebut adalah ketika kami masih baharu, jadi pelakon yang kami pilih biasanya menyelitkan sedikit watak mereka sendiri.

Namun kali ini, kami cuba pelbagaikan. Mungkin ada watak-watak membawa sebahagian daripada diri mereka sendiri dan perkara itu jelas kelihatan, tetapi ada juga contoh seperti Abbas, dia bukan begitu, namun mampu meneroka dan mendalami watak tersebut.

“Ini satu pengalaman yang sangat menarik, kami bermain dengan watak serta belajar bagaimana untuk menjiwai kepelbagaian peranan,” tuturnya.

KUDRAT 1968: High Council yang ditayangkan menerusi Astro Ria dan Astro Citra dibintangi Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok