‘Babak melampau? Kena berundinglah kita di Malaysia, bukan Amerika’

PELAKON Josiah Hogan sedia menggalas watak berkaitan LGBTQ andai ditawarkan memandangkan itu antara cabaran yang menguji kemampuan serta kemahiran lakonan.

Begitupun, Josiah, 40, berkata, sebagai penggiat seni di Malaysia, aspek agama serta sensitiviti masyarakat tetap perlu dihormati dalam berkarya dengan menyampaikan mesej secara berlapik.

“Saya akan terima sebab sebagai pelakon benda (karakter) itu mencabar saya. Watak apa yang saya boleh bawa, karakter macam mana, itu cabaran sebenar.

Tetapi dari segi skrip dan pengarah, mereka kena tahu batasnya. Sebagai pelakon kita bukan mahu tunjuk kepada penonton apa yang kita rasa, kita tonjolkan perwatakan dibawakan.

“Apapun kita ada agama, hidup dalam masyarakat. Kalau kita nak sampaikan mesej, ada banyak cara. Bukan tunjuk terang-terang. Itu pendapat saya,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran trailer serta runut bunyi filem Orang Perang, hari ini.

Aktor asal Texas, Amerika Syarikat itu mengakui pelakon perlu berunding dengan pengarah dalam merealisasikan babak tertentu terutama membabitkan adegan yang melampau atau dijangka boleh mengundang kontroversi.

“Selain sensitiviti penonton, industri hiburan Malaysia juga menggariskan peraturan. Kalau bukan fasal peraturan pun, perlulah kita kembali kepada Rukun Negara. Kita kena faham peraturan serta apa yang boleh serta tak boleh dilakukan.

“Cuma kena berundinglah sebab kita tinggal di Malaysia, bukan duduk di Amerika Syarikat. Jika ada mesej yang nak disampaikan, kita boleh fokus kepada mesej itu dan pada masa sama menjaga batas,” ujarnya.

Josiah berkata, risiko berdepan kecaman menggalas watak kontroversi juga dapat dielak sekiranya mesej disampaikan dengan cara yang mampu difahami penonton.

“Kalau mesej positif itu dipersembahkan dengan cara menggunakan perlambangan, penonton boleh faham, tak mungkin kena kecam,” katanya.

Bercerita lanjut, Josiah mendakwa pelakon ada kalanya hanya mengetahui kewujudan babak tertentu selepas berada di lokasi penggambaran iaitu selepas kontrak sudah ditandatangani dan bayaran diterima.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan pelakon perlu mengambil pendekatan ‘beri dan terima’ dengan pihak produksi, namun komunikasi dan rundingan tetap penting bagi memastikan sesuatu babak tidak keterlaluan.

“Kadangkala kita tak tahu lebih mendalam watak apa yang kita bawa. Sudah tandatangan kontrak, dapat bayaran, datang untuk bacaan skrip, tiba-tiba ada babak seperti itu, sekali lagi berundinglah,” katanya.

Mengulas kecenderungan sesetengah produksi mengejar perhatian menerusi babak kontroversi, aktor yang lebih 16 tahun dalam industri seni itu berpandangan industri tidak seharusnya terlalu mengejar unsur tular sehingga mengabaikan kekuatan sesebuah cerita.

“Kita sekarang terlalu kejar benda viral. Nak sampaikan mesej bukan bermaksud perlu buat sesuatu secara berani atau keterlaluan.

“Alhamdulillah, penonton kita masih ada perkara yang mereka tak boleh terima. Kalau mereka boleh terima semua benda seperti itu, itu satu masalah,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok