PELAKON Farahdhiya mengakui terkejut apabila drama Madu Atau Racun menayangkan babak sensitif yang disifatkan tidak sepatutnya dipersembahkan kepada penonton.
Pemilik nama penuh Nur Farahdhiya Mohd Amin, 42, itu turut mempersoal bagaimana adegan tidak senonoh mendapat kelulusan pihak tertentu untuk ditayangkan kepada umum.
“Pertama sekali, saya tak pernah menonton drama tersebut dan hanya mengetahui cerita dalam media sosial selepas viral.
“Saya sendiri terkejut dan malu tengok adegan-adegan tersebut.
“Sejujurnya tertanya-tanya bagaimana babak-babak tersebut lulus tayangan,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Dalam masa sama, dia meminta mana-mana pihak tidak mempertahankan perkara yang secara terang-terangan salah dan tak sepatutnya dipertontonkan kepada umum.
“Kita tak perlu tegakkan benang yang basah.
“Benda yang salah tetap salah, pusinglah macam mana sekali pun.
“Cuma belajarlah daripada kesilapan. Ini adalah pandangan saya,” ujarnya.
Terdahulu, drama tersebut menerima kecaman hebat susulan menyelitkan babak pelakuan songsang pasangan lesbian lakonan Elisya Sandha dan Uqasha Senrose.
Isu tersebut mencetuskan perdebatan sehingga ramai pemerhati menolak tayangan drama bersiri 12 episod yang disiarkan di platform penstriman iQIYI itu termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Begitupun, atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang memanggil wakil penerbit, MIG Production House, iQIYI serta pelbagai agensi berkaitan, saluran penstriman terbabit setuju untuk membuat suntingan sebelum naskhah tersebut dinilai panel untuk tayangan semula.
Selain Elisya, drama arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi Aliff Aziz serta Uqasha Senrose. – HIBGLAM
