SEDANG berikhtiar mendapatkan zuriat atau Trying To Conceive (TTC), pelakon dan penyanyi Janna Nick menyedari rakan-rakannya teragak-agak atau mengelak menjemputnya ke majlis berkaitan kehamilan.
Janna atau nama asalnya Nurul Jannah Muner, 31, bagaimanapun menjelaskan perasaan gembiranya setiap kali menyaksikan perkhabaran kehamilan atau kelahiran anak rakan-rakan.
“TTC sister kepada TTC sisters. Saya baru sedar, kawan-kawan tak pernah ajak saya pergi ‘baby shower’ atau ‘gender reveal’.
“Acara lain, rumah terbuka ke apa mereka ajak saja. Jadi saya tertanya-tanya, mereka takut saya sedih ke?
“Sumpah, saya tak sedih langsung. Sebagai seorang yang sedang TTC, saya sangat genbira apabila tengok orang lain mengandung, dapat anak, umumkan kehamilan dan semua itu,” katanya dalam Threads.
Bagaimanapun, isteri kepada pelakon Dini Schatzmann itu tidak menafikan ada ketikanya insan yang sedang berjuang dalam perjalanan TTC berasa sayu dengan nasib sendiri.
“Mungkin ada masa kita rasa sedih dengan perjalanan sendiri.
“Tapi itu tak bermaksud kita tak boleh raikan kegembiraan orang lain,” ujarnya lagi.
Untuk info, Janna dan Dini mendirikan rumah tangga pada Jun 2023 di sebuah pusat peranginan di Langkawi, Kedah.
Sejak berkahwin Janna dan Dini tidak pernah merancang soal anak bahkan sering berharap segera dikurniakan cahaya mata.
Dia juga pernah menangis teresak-esak meminta agar orang ramai berhenti bertanyakan soal anak selain mendedahkan sudah setahun menjalani rawatan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF), namun gagal. – HIBGLAM
