NASKHAH didakwa ‘menjual’ babak hubungan sejenis, pengarah drama bersiri Madu Atau Racun, Eyra Rahman berharap orang ramai menonton keseluruhan kisah sebelum membuat penilaian melulu.
Katanya, karya 12 episod itu yang mengupas kehidupan berpoligami seorang lelaki bersama dua isteri itu
masih mengikut garis panduan selain sarat pengajaran untuk disampaikan kepada penonton.
“Sebagai pengkarya kami juga mempunyai tanggungjawab untuk masyarakat, bukan menyajikan cerita kosong. Macam Madu Atau Racun, beberapa plot diketengahkan juga ada yang berasaskan cerita benar.
Kita sajikan dengan jujur tetapi tidaklah sampai tunjuk adegan intim yang tidak sepatutnya. Kami pun tahu batas serta apa yang perlu dipatuhi atau sebaliknya.
“Cuma apabila babak antara isteri pertama dan kedua itu lebih diperkatakan sekali gus menjadi topik hangat, bagi saya tontonlah dahulu kisah selanjutnya kerana sekarang baru memasuki episod empat,” katanya kepada HibGlam.
Eyra yang turut berpengalaman mengarahkan filem berkata, pihaknya memahami kerisauan segelintir penonton namun percaya ramai lagi pengikut setia drama terbitan MIG Productions yang memahami konteks plot serta sub-plot karya terbabit.
“Apa yang boleh saya katakan, kami bukan nak mencetuskan gimik mahupun kontroversi. Sebelum naskhah ini menjalani penggambaran, kita dah bincang pelbagai faktor termasuk dengan barisan pelakon.
Masing-masing pun faham tugas mereka. Sebenarnya ada antara adegan hanya menggunakan ‘camera trick’ atau ‘cheat shot’. Kalau boleh saya pun tak mahu buat babak bersentuhan, kecuali aksi gaduh.
“Nak cakap kami sengaja tunjuk perkara songsang, semuanya ikut skrip, bukan melebih-lebih serta daring seperti didakwa,” ujarnya.
Mengakui turut terkena tempias kecaman, Eyra mengakui tidak membalas segala kutukan dalam media sosial untuk mengelakkan situasi semakin panas.
Saya terbuka menerima sebarang komen, cuma kalau sudah sentuh hal sensitif rasanya tidak wajar kalau dilayan. Kita ambil semuanya sebagai pengajaran,” katanya.
Terdahulu, kecoh di platform Threads berkenaan drama siaran saluran penstriman iQIYI yang didakwa terlampau berani apabila menyajikan kisah membabitkan hubungan songsang.
Drama memaparkan konflik emosi dan kelainan membabitkan poligami ini bermula apabila Azura lakonan Uqasha Senrose cuba menjadi isteri sempurna, namun suaminya, Adli (Aliff Aziz) berkahwin baharu dengan Nikita (Elisya Sandha).
Keadaan menjadi semakin tegang apabila kedua-dua isteri dibawa tinggal sebumbung sehingga mencetuskan krisis besar dan berlaku kejadian misteri yang mengorbankan nyawa Adli. – HIBGLAM
