KES seorang kanak-kanak perempuan yang cedera parah selepas dipercayai diserang dan digigit lima anjing liar di kawasan rumahnya di Batu Pahat, Johor baru-baru ini mengundang pelbagai respons termasuk daripada golongan selebriti.
Terkesan dengan kejadian menimpa kanak-kanak berusia dua tahun itu, pengacara dan pelakon, Ain Edruce mengakui bimbang setiap kali berada berhampiran dengan anjing liar.
Ain berkata, adakalanya dia sanggup menangguh hasrat keluar dari kenderaan hanya disebabkan berasa takut apabila melihat anjing liar berkeliaran.
“Sebab itu saya takut dengan anjing liar ini.
Kalau saya nak keluar kereta dan nampak anjing liar, sanggup tunggu sampai anjing-anjing ini itu pergi,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Tambah pengacara Melodi tersebut, dia turut mengajar anaknya agar sentiasa berwaspada dengan kehadiran anjing liar.
Dia bahkan turut menzahirkan rasa simpati terhadap Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi yang dipercayai mangsa serangan anjing liar.
Saya ajar anak sendiri agar takut dengan anjing liar juga.
“Takut ‘siot’, kasihannya adik ini.
“Anjing itu ada tuan pun boleh jadi macam ini? Sudah tahu ganas kenapa lepaskan,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai respons malah ada yang mengakui melakukan perkara sama seperti Ain setiap kali berada berdekatan dengan sekumpulan anjing liar.
Dalam kejadian pagi Sabtu lalu, Nur Haira ditemui terbaring dengan koyakan pada kepala dan muka selepas diserang lima anjing liar di hadapan rumah neneknya, Darlinda Darlis, 56.
Akibat kecederaan parah, Nur Haira turut menjalani pembedahan beberapa anggota badan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Susulan kejadian itu, polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian berkenaan dengan haiwan. – HIBGLAM
