‘Saya dipukul, dicekik kerana hasutan wanita lain’

SUAMI kepada model dan usahawan Zahnita Wilson iaitu Zackery memaklumkan dirinya kini bebas daripada dakwaan mendera empat orang anaknya.

Menurut pemilik nama penuh Abd Zackery Ghouse Abd. Ghani, 46, itu, bebas daripada pertuduhan tersebut sekali gus memberinya peluang bertemu dengan empat anaknya setiap minggu selain hak bermalam.

“Alhamdulillah. Seharian bersama anak-anak selepas dua bulan hanya bertemu dua kali sebulan iaitu selama dua jam sahaja.

“Pihak mahkamah menggugurkan tuduhan saya mendera anak-anak dan kini dapat berjumpa mereka setiap hari Sabtu serta hak bermalam bersama dua kali sebulan,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Menerusi perkongsian sama, Zackery dilihat memuat naik foto bersama empat anaknya dan juga momen percutian ke air terjun baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zackery turut menyifatkan perkara tersebut sebagai hadiah terbaik yang diraihnya ketika ini.

“Ini kemenangan kecil tetapi saya hargainya! Salam Ramadan,” katanya lagi.

Sementara itu, Zahnita atau Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, dalam satu hantaran Instagram pula mendedahkan dakwaan pernah dipukul oleh suaminya dengan memuat naik foto lebam pada bahagian mata.

TANGKAP layar perkongsian Instagram Zackery (kiri) dan Zahnita.

“Saya menerima sebanyak lima hingga enam pukulan pada bahagian kepala dan lengan sebelum dia mencekik saya.

“Semasa saya bergelut untuk membebaskan diri, saya berkata tidak akan pergi ke polis dan kemudian melepaskan saya,” ujarnya.

Zahnita juga mendakwa keganasan tersebut berlaku kerana hasutan daripada pihak lain.

“Saya dipukul kerana hasutan wanita lain.

“Saya berkata benar dan tidak lain hanyalah demi kebenaran. Tuhan, tolonglah saya,” ujarnya.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan perkongsian tersebut adalah berkaitan dengan keputusan mahkamah yang menggugurkan dakwaan terhadap suaminya atau tidak.

Terdahulu, Zahnita pada 2 Disember tahun lalu berkongsi foto dalam Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.

Dakwa aktres berkenaan, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suami sendiri selain mengatakan Zackery mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Susulan itu, pada 4 Disember 2024, Zachery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.

Bagaimanapun Zachery mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.

Tidak tahan menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Zahnita kemudiannya nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember tahun lalu.

Zackery mendirikan rumah tangga dengan Zahnita pada 2005. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok