Kurang ajar menunggang seni, persenda Rukun Negara

PRINSIP kebebasan berekspresi dalam seni dan batas tatasusila kembali memanas susulan penularan klip video pementasan teater tertutup bertajuk This Is Malaysia yang sarat elemen kontroversi dan menyentuh sensitiviti perkauman.

Memaparkan lima individu sedang melafazkan ikrar Rukun Negara kemudian diselang-selikan dengan lontaran dialog, gelak ketawa serta kenyataan menyentuh sensitiviti perkauman, pementasan dipercayai diadakan di Pulau Pinang pada 2018 secara tertutup tersebut mudah dilihat satu sebuah acara tidak bertanggungjawab.

Biarpun kisah lama dan sudah pun diturunkan daripada media sosial, penularan perbuatan menghina Rukun Negara sebegitu tidak boleh dipandang ringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pihak berwajib harus bertindak, itu pun hasil kecaman ramai. Atas arahan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) diminta menjalankan siasatan segera dan menyeluruh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, pula mengesahkan tiga daripada lima pelakon yang terlibat telah ditahan di Selangor dan Johor baru-baru ini sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Ketiga-tiga mereka sudah diberi jaminan polis selepas keterangan selesai dirakam dan pemeriksaan mendapati tiada kandungan pementasan berkenaan dalam telefon bimbit atau gajet mereka.

“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, seorang sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman.

Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pendirian industri seni

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak terlibat yang didakwa cuba menggugat perpaduan nasional atas nama kreativiti.

MEWAKILI Seniman, Hafiz Nafiah mengecam sekeras-kerasnya pengkhianatan yang cuba dilakukan sebuah kumpulan teater yang menjenakakan prinsip Rukun Negara Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah menegaskan bahawa kebebasan berkarya mesti seiring dengan tanggungjawab sosial serta penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Seniman memandang serius video pementasan teater bertajuk This Is Malaysia yang tular dan didakwa mengandungi unsur mempermainkan Rukun Negara, menyentuh institusi Raja, perkara-perkara sensitif berkaitan identiti dan keharmonian negara.

“Kebebasan berkarya merupakan satu perkara yang penting dalam dunia seni, namun hendaklah sentiasa disertai tanggungjawab serta menghormati undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti masyarakat majmuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, Seniman juga menegaskan bahawa industri seni tidak seharusnya dijadikan ruang bebas melakukan apa sahaja atas nama kreativiti.

“Seniman menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada wujud kesalahan berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Kami juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pemain industri bagi memastikan kebebasan berkarya terus dipelihara tetapi pada masa sama, maruah negara, keharmonian masyarakat dan prinsip undang-undang turut dihormati,” ujarnya.

Isu berat

Selaku pelakon berpengalaman, Ellie Suriaty tidak terlepas dalam memberi pandangan di mana dia menyifatkan kontroversi pementasan teater This Is Malaysia sebagai satu isu berat yang tidak boleh dipandang remeh.

“Saya rasa malang sekali sebab perkara itu berlaku pada 2018 dan baru sekarang kita perasan. Maknanya pementasan itu dipertontonkan untuk sekelompok orang yang mempunyai satu pemikiran.

“Saya rasa ini kumpulan liberal sekular, Rukun Negara diwujudkan pada 1970 ini benteng keselamatan negara.

“Jadi, apabila ada kumpulan tidak bertanggungjawab menyentuh mengenainya, apa modus operandi mereka?

“Di sebalik rumah teater pentas ini, ada NGO liberal sekular yang terlibat,” katanya.

ELLIE Suriaty syak ada pihak NGO tertentu yang terlibat dalam pementasan teater dengan agenda menghina Rukun Negara yang tular baru-baru ini.

Sebagai langkah pencegahan jangka panjang, Ellie turut mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperketatkan prosedur penapisan karya teater di Malaysia.

“Setelah berlakunya teater yang merosakkan nama baik Malaysia ini, saranan saya mungkin agak keras. Setiap penerbitan tidak kira teater Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil, semua patut melalui KDN.

“Pihak kementerian perlu teliti dan semak skrip terlebih dahulu, sama seperti prosedur sesebuah penerbitan filem yang perlu melalui Bukit Aman sekiranya membabitkan elemen polis, askar atau senjata api,” ujarnya.

Nasi sudah jadi bubur, tindakan terburu-buru membelakangkan sensitiviti negara tidak akan pernah dimaafkan.

Penghinaan terhadap Rukun Negara serta institusi beraja adalah satu bentuk pengkhianatan kepada asas pembinaan negara bangsa.

Kelantangan bersuara sememangnya mempunyai saluran yang betul, bukannya melalui sindiran sinis boleh merobek perpaduan kaum.

Seluruh industri mengecam perbuatan biadab tersebut dan berharap hukuman setimpal dikenakan kepada pihak yang terlibat. Jika ingin derhaka kepada negara, usahlah menunggang seni.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok