‘Saman atau tidak bergantung kepada keikhlasan dia mohon maaf’

PELAKON Ellie Suriaty mendedahkan pertemuannya dengan pempengaruh Imran Bard bakal menjadi penentu sama ada dia akan meneruskan tindakan saman ataupun sebaliknya.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Ellie atau nama lengkapnya Ellie Suriaty Omar, 54, memberitahu, dia telah pun memberi respons kepada Imran beberapa hari sebelum Ramadan untuk bertemu empat mata.

“Saya bersetuju dengan permintaannya untuk berjumpa. Namun menurutnya dia kini masih berada di kampung halamannya. Saya memahami itu, Insya-Allah perjumpaan akan diadakan sekembali dia ke Kuala Lumpur kelak.

Namun saya ingin tegaskan bahawa sesi pertemuan ini akan menjadi penentu sama ada saya akan meneruskan proses saman atau sebaliknya. Ia bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf daripadanya kepada saya.

“Saya berharap agar Allah mempermudahkan segalanya. Terima kasih atas segala sokongan, keprihatinan serta doa daripada kalian semua. Jaga adab,” tulisnya.

Terdahulu, industri seni kecoh apabila Ellie mendakwa Imran menghinanya dengan memetik nama aktres itu dalam salah satu konten yang dimuat naik dalam akaun media sosial.

Sehubungan itu, Ellie menuntut agar ibu dan bapa Imran membuat permohonan maaf kepadanya.

Imran kemudian telah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dia dikecam netizen dan penggiat industri seni yang menyifatkan tindakannya sebagai biadab. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok