Pemuzik legenda Zul Mahat sudah tiada

KOMPOSER yang juga pemuzik legenda, Zul Mahat meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat komplikasi paru-paru.

Sebelum ini, pemain keyboard berusia 64 tahun itu dimasukkan ke PPUM pada penghujung Disember lalu akibat terjatuh semasa rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis di Subang Jaya.

Zul mengalami kecederaan di bahagian dagu, mata serta patah tangan kanan dan bahu kanan.

Allahyarham dirawat selama hampir sebulan di hospital berkenaan dan turut menjalani prosedur angiogram.

Doktor mendapati terdapat dua saluran darah tersumbat dan memasukkan stent sebagai rawatan.

Allahyarham dibenarkan keluar dari hospital pada penghujung Januari, tetapi dimasukkan semula ke PPUM pada 17 Februari lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Sepanjang kariernya, Allahyarham banyak menghasilkan lagu-lagu untuk artis tanah air antaranya Perjalanan Duka nyanyian Min Malik, Sahabat (Fauziah Latiff) dan Sesat Dalam Gelita (Spider).

Sebagai pemain keyboard, Zul Mahat juga banyak terlibat dengan kerja-kerja rakaman di Studio Luncai Emas dalam album Datuk M Nasir, Rahim Maarof dan Search.

Antara lagu yang menerima sentuhan emasnya termasuklah, Mustika dan Istana Menanti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok