Nana Patekar meninggal dunia pada usia 75 tahun

INDUSTRI perfileman India diselubungi kesedihan apabila pelakon veteran, Nana Patekar meninggal dunia pada usia 75 tahun akibat serangan jantung, hari ini.

Nana atau nama sebenarnya Vishwanath Patekar dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Goa sebelum dikejarkan ke hospital. Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurut doktor bertugas, biarpun bantuan CPR diberikan selama 45 minit, namun Nana tidak dapat diselamatkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemergian aktor itu sekali gus menutup perjalanan seni hampir lima dekad yang menyaksikannya mencipta nama sebagai antara pelakon berpengaruh dalam industri perfileman di India.

Nana memulakan karier seninya sebagai pelakon teater sebelum membuat kemunculan di layar perak menerusi filem Gaman pada 1978.

Bagaimanapun, namanya benar-benar melonjak menerusi filem Parinda (1989). Lakonan Nana dalam filem tersebut membolehkannya meraih Anugerah Filem Nasional dan Anugerah Filmfare bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki.

Antara filem lain yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pelakon disegani termasuk Krantiveer, Agni Sakshi, Khamoshi: The Musical, Ab Tak Chhappan, Raajneeti, Welcome dan Natsamrat.

Malah, menerusi Krantiveer, Nana memenangi Anugerah Filem Nasional bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Selain lakonan serius, Nana turut mencuri perhatian menerusi genre komedi, khususnya watak Uday Shetty dalam filem Welcome. Watak tersebut menjadi antara persembahan komedi paling dikenang dalam kariernya dan memperlihatkan sisi berbeza bintang berkenaan.

Nana juga tidak hanya bergantung kepada dunia lakonan. Dia pernah bergelar pengarah dan penulis, selain aktif dalam kerja kebajikan.

Dia juga pernah digosipkan menjalin hubungan cinta dengan Manisha Koirala satu ketika dulu.

Manisha turut memuat naik ucapan takziah atas pemergian aktor itu dan menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat industri.

“Sangat bersedih dengan pemergian seorang pelakon hebat, kehadiran yang luar biasa dan seorang yang benar-benar teguh dalam bidang ini,” tulisnya dalam akaun X. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok