Bintang Breaking Bad, RJ Mitte meninggal dunia

PELAKON yang cukup dikenali menerusi siri popular, Breaking Bad, RJ Mitte meninggal dunia pada usia 34 tahun di Brownsville, Texas, Amerika Syarikat, semalam.

Berita pemergian aktor itu disahkan wakilnya menerusi satu kenyataan kepada media, sekali gus mengundang kesedihan dalam kalangan peminat serta mereka mengenali sumbangannya dalam dunia seni dan perjuangan hak (Orang Kurang Upaya) OKU.

Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan pemergian tragis pelakon kesayangan, dermawan dan aktivis hak orang kurang upaya yang bersemangat, RJ Mitte,” menurut kenyataan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemergian Mitte turut meruntun hati pelakon Bryan Cranston, 70, yang membawa watak bapanya, Walter White, dalam siri berkenaan.

Cranston meluahkan kesedihan menerusi satu hantaran yang mengenang perjalanan Mitte daripada seorang remaja berusia 14 tahun kepada pelakon berbakat serta pejuang hak OKU.

Saya menulis perkara ini dengan hati sangat hancur. RJ Mitte, anak kesayangan saya dalam Breaking Bad, telah meninggal dunia.

“Saya mengenalinya ketika dia baru berusia 14 tahun, selepas dipilih membawa watak Walter White Jr. Dia memainkan watak itu dengan penuh kegembiraan dan semangat,” tulisnya.

Tambah Cranston, Mitte tidak pernah menjadikan keadaan kesihatannya sebagai alasan untuk mengalah, sebaliknya berdepan tuntutan penggambaran dengan ketabahan serta kesungguhan luar biasa.

Dilahirkan dengan cerebral palsy, dia tidak pernah sekali-kali menjadikan cabaran itu sebagai alasan untuk tidak melakukan sesuatu. Dia menghadapi jadual penggambaran padat dengan penuh keazaman.

“Dia sentiasa mendengar nasihat daripada ibu bapanya dalam siri itu, iaitu Anna Gunn dan saya.

“Namun, sebagai seorang remaja, ada kalanya dia memilih untuk tidak mengendahkan nasihat kami supaya dapat belajar melalui pengalamannya sendiri. Dia ialah bintang sebuah rancangan popular, tetapi pada masa sama masih seorang anak muda,” katanya.

Cranston turut mengakui lebih sukar menerima berita berkenaan selepas dimaklumkan Mitte meninggal dunia akibat bunuh diri.

“Lebih memilukan apabila mendengar dia mengambil nyawanya sendiri. Mengapa?

Kami masih berbalas mesej beberapa minggu lalu, merancang masa sesuai untuk bertemu dan makan tengah hari bersama. Saya tidak tahu sama ada pertemuan itu mampu mengubah masa depannya.

“Saya akan merindui kamu, nak,” luahnya.

Selain dunia lakonan, Mitte aktif dalam kerja kebajikan dengan berkhidmat sebagai duta kepada United Cerebral Palsy dan Shriners Children’s. Beliau juga memegang jawatan presiden The Mitte Foundation, organisasi menyokong pelbagai usaha kebajikan serta inisiatif komuniti.

Menerusi pengaruhnya, Mitte berusaha mencabar stereotaip terhadap golongan OKU, termasuk memperjuangkan peluang dan perwakilan lebih baik dalam industri hiburan.

Mitte membintangi kesemua lima musim Breaking Bad, disiarkan dari 2008 hingga 2013. Siri berkenaan mengisahkan kehidupan Walter White lakonan Cranston bersama isterinya, Skyler White, dibawakan Anna Gunn, serta anak mereka.

Sepanjang penayangannya, drama tersebut meraih 16 anugerah Primetime Emmy daripada keseluruhan 58 pencalonan malah lakonan Mitte turut melayakkannya menerima anugerah SAG-AFTRA Harold Russell pada 2013.

Selain Breaking Bad, Mitte turut membintangi siri Switched at Birth terbitan ABC Family dan siri adiwira The Guardians of Justice serta pernah membuat kemunculan dalam siri popular Hannah Montana serta Everybody Hates Chris.

Dalam temu bual bersama Love-It Film pada Februari lalu, Mitte pernah berkongsi bahawa pengalamannya membintangi Breaking Bad membantu membentuk dirinya sebagai pejuang hak OKU lebih berkesan.

Wakil Mitte dalam kenyataan sama turut meminta orang ramai menghormati privasi keluarga serta individu terdekat pelakon itu sepanjang tempoh sukar berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok