Saya menziarahi Tun Mahathir, sedekahkan al-Fatihah – Yusuf Islam

PENYANYI legenda asal Britain, Yusuf Islam menziarahi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad susulan pemergian isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Yusuf, 78, atau popular dengan nama Cat Stevens, berkata, beliau meluangkan masa dengan negarawan berusia 101 tahun itu serta membaca surah al-Fatihah buat Allahyarham Tun Hasmah.

“Hari ini saya menziarahi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia, yang isterinya, Dr. Hasmah, baru sahaja meninggal dunia dan membaca al-Fatihah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka telah berkahwin selama 70 tahun. Beliau berusia 101 tahun dengan izin Tuhan,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Penyanyi merangkap komposer tersohor itu turut berkongsi sekeping foto dirinya berbual bersama negarawan dihormati ramai itu.

Pertemuan penuh bermakna itu meraih maklum balas netizen yang memuji tindakannya meluangkan masa memberikan sokongan moral terhadap Tun Mahathir pada waktu sukar.

Difahamkan, penyanyi juga aktivis kemanusiaan itu berkunjung ke Malaysia sempena Persidangan Global Tipping Points di Sunway University Bandar Sunway, di sini.

Persahabatannya dengan Tun Mahathir sudah lama terjalin, malah Yusuf pernah ke pejabat Tun Mahathir di Menara Berkembar Petronas pada 2010 sebelum bertemu lagi lima tahun kemudian.

Terdahulu, Tun Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, 28 September lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok