‘Masih banyak permintaan, ramai sayang saya’ 

TIDAK melupakan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ratu rock negara mendedahkan juadah istimewa air tangannya buat suami tersayang, Kapten Azhar Ghazali di bulan Ramadan adalah telur hancur. 

Ella, 59, berkata, telur hancur yang disediakannya sangat berbeza daripada resipi lain kerana mengandungi bahan rahsia. 

“Sejujurnya, juadah sahur istimewa yang saya sediakan adalah scrambled eggs (telur hancur). Tapi, scrambled eggs saya berbeza sebab saya letak lada hitam. 

“Selain itu, saya letak susu segar. Kalian letak susu segar tak? Mesti tidak, bukan? Ini memang kegemaran saya tapi suami tak kisah asalkan air tangan saya,” katanya memecah hening dengan tawa rakan wartawan.

Ella ditemui pada majlis sambutan Ramadan Ella bersama anak yatim dari Rumah Bakti Nur Syaheera di sebuah hotel, di ibu kota, baru-baru ini.

RAMADAN ini Ella dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga  tersayang.

Berehat bukan bersara

Dalam pada itu, mengulas rutin hariannya sepanjang Ramadan, pelantun lagu Kesal itu berkata, dia mahu berehat kerana meluangkan masa bersama keluarga, selain fokus pada bisnes pakaian di bawah jenama RockQueen miliknya.

“Disebabkan itu, saya mengadakan majlis berbuka puasa awal kerana mahu berehat. Selama ini asyik bekerja, jadi tibalah masanya saya rehat di rumah. Itu diperlukan sekarang.

“Apabila ambil keputusan berehat bukanlah bermakna nak bersara. Saya masih ada beberapa projek bersama syarikat rakaman Universal Music Malaysia yang perlu diselesaikan,” katanya. 

Ditebak pertanyaan sama ada pernah terlintas dalam fikirannya untuk bersara, Ella menggeleng kepala sekali gus menandakan banyak lagi perihal perlu dilunaskan sebelum mengibar bendera putih. 

“Sekarang masih banyak permintaan dan ramai yang sayang saya. Jadi saya hanya go with the flow. 

“Saya sentiasa bersemangat untuk terus menghiburkan peminat dan tak mahu mengecewakan sesiapa,” ujarnya. 

Pada majlis itu, selain menyantuni lebih 30 kanak-kanak dari rumah kebajikan dengan majlis berbuka puasa dan memberi sumbangan duit raya, Ella turut memperkenalkan empat koleksi terbaharu busana sempena Aidilfitri di bawah jenama diusahakannya.

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok