‘Kalau tiba-tiba saya dipinang lelaki milik orang, saya takut’

LEBIH setahun menggalas status janda, pelakon Rebecca Nur Al Islam mengakui belum bersedia membuka pintu hati untuk kembali berumah tangga biarpun didekati ramai lelaki.

Rebecca, 40, berkata keutamaan ketika ini adalah membina semula kehidupan bersama anak-anak selepas melalui episod perpisahan, selain memastikan mana-mana lelaki hadir kelak benar-benar bersedia memikul tanggungjawab besar bersamanya.

“Selepas perpisahan, sejujurnya memang ada orang cuba mendekati. Mestilah ada. Tetapi saya lebih selesa berkawan dahulu kerana kehidupan saya sendiri masih belum begitu stabil.

“Buat masa ini, saya rasa belum tiba masanya untuk mempunyai teman hidup. Bukan sebab saya belum boleh melupakan masa lalu atau masih teringat perkara lama.

“Saya sedang membina semula ‘kerajaan’ saya. Kerajaan lama sudah runtuh, roboh, jadi sekarang saya perlu bina semula kehidupan saya sendiri,” katanya dalam sebuah program audio siar.

Bagaimanapun, Rebecca mengakui seboleh-bolehnya tidak mahu menerima lelaki berstatus suami orang sebagai pasangan hidup, namun enggan menetapkan perkara tersebut sebagai syarat mutlak kerana percaya soal jodoh merupakan ketentuan Allah.

“Kalau boleh, jangan suami orang. Hahaha. Kalau boleh, saya memang tidak mahu. Itu sebenarnya perkara paling saya takut.

“Namun, saya tidak mahu letakkan syarat kerana takut perkara itu pula berlaku kepada saya. Kita tidak tahu dugaan Allah. Kadang-kadang kita nampak seseorang dan fikir dia mampu menerima segala tanggungjawab, tetapi akhirnya baru tahu dia lelaki orang, malah sudah mempunyai dua isteri.

“Tetapi ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya Allah aturkan. Kalau tiba-tiba masa depan saya dipinang lelaki milik orang, saya sendiri pun takut. Buat masa ini, saya tiada sesiapa,” ujarnya.

Paling penting kata Rebecca, lelaki pilihan bukan hanya perlu menambat hati, malah mesti bersedia menerima dirinya bersama tujuh anak serta segala komitmen besar hadir bersamanya.

“Sekarang saya mahu bina semula kehidupan sempurna untuk diri sendiri dan anak-anak dahulu. Kalau ditakdirkan ada seseorang datang mendekati, saya akan lihat dahulu.

“Kalau sedap mata memandang, dia boleh menerima anak-anak dan mampu menerima tujuh anak saya, kenapa tidak? Dia perlu ingat, tujuh ‘luggage’ saya ditambah seorang ibu, jadi lapan semuanya.

“Komitmennya agak besar, termasuk dari segi perbelanjaan dan persekolahan. Jadi, saya rasa lelaki yang betul-betul mahu mendekati saya pun mungkin akan rasa takut,” luahnya.

Beralih kepada ciri lelaki pilihan, Rebecca mengakui penampilan menjadi antara perkara pertama mencuri perhatiannya, selain kestabilan hidup serta kemampuan mengurus tanggungjawab.

“Nombor satu, mestilah sedap mata memandang. Nombor dua, dia kena stabil. Bukan sebab apa, saya akan menjadi satu masalah jika dia sendiri tidak stabil.

“Saya sedang berusaha membina semula ‘kerajaan’ saya. Kalau tiba-tiba hadir seseorang membawa masalah pula, kehidupan saya mungkin bertambah rumit. Bak kata orang, keluar dari mulut buaya, masuk pula ke mulut singa,” jelasnya.

Terdahulu, Rebecca mendirikan rumah tangga dengan Datuk Norazam Datuk Haji Sulaimanpada 14 Januari 2011.

Perkahwinan tersebut dikurniakan enam cahaya mata selain seorang anak angkat.

Rebecca kemudian sah bercerai dengan pada awal Mei 2025. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok