‘Kami pandang serius isu ini, penyampai 3 pagi Era direhatkan’

SUSULAN kontroversi konten menyentuh sensitiviti agama, tiga penyampai radio Era, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin telah direhatkan daripada ke udara.

Menerusi satu kenyataan media, pihak Astro memohon maaf dan memandang serius isu yang hangat diperkatakan itu.

Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kerana telah menyakiti hati dan mengecewakan pihak yang terlibat.

“Para penyampai yang terlibat telah mengakui kesilapan mereka dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut daripada ke udara sehingga diberitahu kelak sementara kami menjalankan siasatan,” tulis mereka dalam kenyataan itu.

Menurut pihak Astro Audio lagi, mereka sentiasa komited terhadap kepercayaan pendengar serta akan memastikan persekitaran media dihormati dan menyeluruh.

Kami sedang mengambil langkah memperkukuh semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan pendengar kami.

“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan,” tulis mereka.

Terdahulu, pagi tadi Nabil, Azad dan Radin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung video mempersenda ritual sambutan Thaipusam.

Susulan itu, Malaysian Indian Congress telah menuntut permohonan maaf daripada Era FM dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap stesen radio terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok