Saya membesar dengan kawan India, Cina – Radin

SAMBUTAN Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia saban tahun sentiasa menjadi detik keemasan untuk menyemarakkan semula semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Di negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan agama, keharmonian bukannya lahir secara tiba-tiba, sebaliknya dibentuk menerusi amalan toleransi, sikap saling menghormati serta sifat kejiranan yang erat sejak kecil.

Mengimbas kembali kenangan zaman kanak-kanak di kampung halamannya di Perak, penyampai radio Radin berkongsi bagaimana persekitaran perumahannya di Ipoh membentuk sudut pandang harmoni terhadap integrasi kaum.

“Bila di sana, saya dibesarkan dengan kawan-kawan Cina dan India.

“Mungkin sebab saya dibesarkan dalam keluarga yang ramah, jadi jiran-jiran Cina dan India, kami memang berkawan.

“Bila raya kami bagi mereka lemang, apabila Deepavali, mereka akan bagi muruku dan sambutan Tahun Baharu Cina, mereka bagi limau mandarin sekotak,” katanya kepada HibGlam.

Bagi pemilik nama lengkap Radin Amir Affendy itu, landasan perpaduan nasional tidak sepatutnya dihadkan atau dizahirkan sewaktu sorakan kejayaan sukan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada corak kehidupan seharian rakyat Malaysia.

“Perkara tersebut tidak janggal bagi saya dan kita rakyat Malaysia.

“Bila kita kata menyatu saja, orang akan cakap fasal sukan semata-mata tapi sebenarnya kita boleh buat apa-apa saja,” katanya lagi.

Toleransi

Pengalaman melestarikan kerjaya sebagai penyampai radio selama lebih sedekad turut mengukuhkan rasa syukurnya terhadap persekitaran kerja yang amat bertoleransi.

“Secara tak langsung, alhamdulillah saya dengan Astro Audio dah 12 tahun, macam-macam orang dan telatah kami rasa di sini.

“Dari segi perkauman kami rasa sangat positif dan memang tak ada isu setakat ini, alhamdulillah,” jelasnya.

Radin terlibat dalam projek KITA FM yang mana kali ini melancarkan lagu sempena Hari Kemerdekaan berjudul KITA.

Radin meluahkan rasa gembira kerana penjenamaan semula dan kempen berkenaan kini tampil lebih berimpak dengan penghasilan lagu rasmi buat julung kalinya.

“KITA FM ini kalau tak silap saya penganjuran kali ketiga tapi ini pertama kali kami ada lagu rasmi. 

“Jadi, kami gembira sebenarnya sebab kami membawa kejayaan daripada lagu raya Astro Audio. 

“Sebelum-sebelum ini kalau di Astro saya bahagian bercakap saja. Cuma kali ini lain sikit, nampak macam saya berfungsi dalam stesen,” ujarnya. 

Tambahnya, projek khas tersebut bukan sahaja menyatukan suara barisan penyampai dalam Astro Audi, malah turut mengeratkan lagi perhubungan mereka semasa penggambaran video muzik.

“Lagu ini mengenai kerjasama dan juga toleransi kita dengan masyarakat yang majmuk dan pastinya kami gembira sebab penggambaran video muzik daripada pagi sehingga ke malam. 

“Semua ada dan bagi komitmen. Menariknya lagu ini ada pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa India, Kadazan. 

“Susunan yang pengurusan kami buat saya rasa agak lancar dan dari segi perniagaan, mereka gembira sebab banyak klien yang sertai kolaborasi ini,” tutupnya.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok