‘Bella baik, cantik’ – Ibu Syed Saddiq pesan jangan langkah bendul

“MACAM Romeo dan Juliet”

Itu respons ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila diajukan soalan tentang kisah cinta anaknya itu dengan pelakon Bella Astillah.

Ujar Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, perubahan sikap luar kebiasaan anaknya seolah-olah memberi petanda sedang dilamun cinta.

“Tengok pada sikapnya, sanggup berenang dari satu penjuru ke satu penjuru.

Dengan emak pun tak pernah buat, tak pernah berenang, tak pernah naik gunung atau naik apa-apa,” katanya dalam sesi siaran langsung dalam TikTok bersama SpaceDollah.

Sharifah juga turut menyifatkan Bella seorang wanita baik dan cantik, selain mendoakan anaknya bertemu jodoh terbaik.

Seorang yang baik, ada rupa paras, ada kelembutan tetapi seperti mama kata, kita berwaspada. Setiap kecantikan tidak akan kekal selama-lamanya.

“Kita doakan Allah kurniakan seseorang kepada Saddiq yang baik, yang boleh menyayanginya,” ujarnya.

Pun begitu, Sharifah sempat berpesan kepada anaknya agar memberi laluan kepada abangnya untuk berkahwin dahulu.

Mudah-mudahan Saddiq dapat yang terbaik, dapat sesuaikan diri. Satu lagi, Saddiq jangan langkah bendul, tunggu abang dulu,” tegasnya.

Sejak kebelakangan ini, hubungan dua figura popular itu menjadi bualan ramai selepas sering dilihat meluangkan masa bersama.

Mereka bukan sahaja menjadi duta jenama pakaian yang sama, malah baru-baru ini turut menawan puncak Gunung Kinabalu bersama.

Syed Saddiq juga pernah muncul dalam muzik video lagu Tapi Bukan Denganmu, nyanyian Bella yang merupakan bekas isteri pelakon Aliff Aziz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok