MENGANGKAT tema baharu dalam sesebuah naskhah boleh disifatkan sebagai percubaan berani oleh mana-mana pembikin filem.
Tidak gentar mengambil risiko menjadi pengarah pertama menghasilkan filem bertemakan permainan e-sukan, Mobile Legend di layar perak, itu yang dilakukan sutradara, Syafiq Yusof ketika ini.
Soloz: Game Of Life, sebuah filem terbaharu dan paling ‘gila’ pernah dihasilkan Syafiq sepanjang bergelar pengarah.
Sudah mengarahkan lebih 20 filem, Syafiq Yusof mengakui pembikinan naskhah tersebut merupakan tugas paling sulit sepanjang kerjayanya.
Syafiq atau Mohd. Syafiq Mohd. Yusof, 32, berkata, banyak ilmu baharu dan kajian perlu dipelajari serta membuat persediaan sepanjang proses penghasilan filem tersebut termasuk mendapat keizinan serta kerjasama daripada syarikat pengeluar Mobile Legends, Moonton kerana membabitkan animasi permainan video mudah alih Mobile Legends: Bang Bang.
Kalau anda sering menonton hasil kerja saya, filem ini merupakan genre ‘luar kotak’ kerana lari daripada tema klise iaitu gengster, rempit, polis atau seram.
“Cuma sesekali kita perlukan genre lain yang mengikut trend dan peredaran zaman.
Filem ini sangat susah dihasilkan sebab merangkumkan banyak elemen termasuk drama, pertandingan e-sukan dan animasi.
“Sebenarnya ini adalah filem paling susah saya buat. Waktu buat filem Sheriff sebelum ini, rasanya saya santai dan relaks lagi,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan gala baru-baru ini.
Dalam pada itu, Syafiq menegaskan, naskhah yang menjalani penggambaran selama 55 hari di Kuala Lumpur itu bukanlah sebuah filem biopik sebaliknya diinspirasikan daripada kisah benar tentang kehidupan pemain e-sukan profesional tanah air, iaitu Soloz.
Sebelum filem dibikin, Syafiq sempat bertemu dengan Soloz atau Fariz Zakaria, Syafiq dan berbual selama dua jam bagi menelusuri kehidupan jejaka asal Negeri Sembilan itu.
“Saya tertarik dengan karakter Soloz selepas membuat kajian berkaitan komuniti Mobile Legends.
Walaupun filem fiksyen, kami ambil inspirasi daripada kisah benar dan mengenali siapa jejaka bernama Soloz yang berjaya melakar sejarah sendiri dalam dunia e-sukan serta mengubah persepsi tentang ‘gamers’ di Malaysia.
“Disebabkan dia, saya fikir cerita sebegini memang patut dihasilkan terutama untuk golongan ibu bapa di Malaysia kerana mahu mengubah perspektif terhadap dunia permainan video. Walaupun bergelar ‘gamers’, mereka boleh jadi manusia,” jelasnya.
Tidak meletakkan sebarang sasaran jumpah kutipan, Syafiq hanya berharap penonton dan pencinta e-sukan menerima dan memahami setiap mesej dalam filem ini.
“Saya tidak ada target apa pun dan memang berserah sepenuhnya kepada Allah SWT.
Niat utama hanya mahu orang berseronok, tonton dan faham isi cerita yang saya mahu sampaikan dalam filem ini. Nikmati titik peluh dan hasil kerja yang saya lakukan dengan seluruh produksi,” ujarnya.
Ikon
Sementara itu, Soloz, 31, terharu apabila ada pihak yang sudi menjadikan kisah hidupnya dalam sebuah naskhah sehebat itu.
Mahu menyebarkan mesej positif, Soloz juga menyeru golongan muda mengutamakan pelajaran sebelum meneruskan cita-cita sebagai pemain e-sukan atau kerjaya lain.
Sekurang-kurangnya bila ada pendidikan, mereka mempunyai asas untuk meneruskan kehidupan. Jangan memperjudikan hidup dengan main ‘game’ semata-mata,” ujarnya.
Soloz: Game of Life dibintangi Hun Haqeem, Ikmal Amry, Syafie Naswip, Noki K-Clique, Jaa Suzuran dan ramai lagi.
Karya terbitan syarikat produksi, Key Billions itu diinspirasikan daripada kisah benar perjalanan Soloz dalam dunia e-sukan profesional.
Filem tersebut juga memaparkan kisah persaingan sengit antara The Boss dengan pasukan dari Singapura, Vengeance yang mengajar Soloz dan rakan sepasukan mengenai nilai persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan sihat yang menjadi asas kejayaan. – HIBGLAM