DISELUBUNGI amarah akibat masalah rumah tangga, penyanyi Hafiz Suip menyesal bertindak mengikut perasaan sehingga terpaksa memadam akaun Instagram sekitar pertengahan tahun lalu.
Hafiz, 35, berkata, keputusan itu dianggap sebagai kesilapan memandangkan laman sosial yang mempunyai 800,000 pengikut itu menyimpan gambar dan video kenangan lama.
“Saya mengakui membuang akaun kerana marahkan keadaan ketika itu. Kebetulan pada masa sama sedang hangat kisah artis sokong Israel.
Jadi sudah alang-alang, saya buat keputusan untuk buang sahaja akaun Instagram saya kononnya mahu cari ketenangan.
“Tapi rupanya itu satu kesilapan besar kerana pada waktu itu sudah ada lebih 800,000 pengikut. Saya bercadang buka akaun baharu tetapi mungkin menggunakan nama syarikat,” katanya selepas sidang media konsert By Ajai & Mega Friends, baru-baru ini.
Menurut pelantun lagu Awan Nano itu, buat masa ini dia menggunakan Facebook dan TikTok bagi berkongsi perkembangan kerjaya.
Ditanya mengenai keadaannya selepas akhirnya membuka mulut mengenai kemelut rumah tangga, katanya selepas berkongsi perkara itu hatinya makin tenang.
Tidak berniat membuka pekung, pendedahan itu adalah bagi mengelakkan cerita tidak benar terus diperkatakan orang luar terutama selepas dia kembali semula ke Sarawak.
“Saya buat keputusan pulang ke Kuching kerana terlalu banyak memori di sana selain mendekatkan diri dengan orang tersayang terutama ibu yang sakit kencing manis dan terpaksa dipotong sebelah kakinya.
Tapi lama-kelamaan saya fikir, kalau terus di sana saya takkan keluar daripada kesedihan. Jadi saya mula aktif menyanyi supaya tak terus larut dalam emosi.
“Pada masa sama saya juga kena selalu pulang ke Kuala Lumpur untuk jenguk anak-anak yang tinggal bersama isteri. Alhamdulillah saya bebas berjumpa anak-anak,” ujarnya.
Awal Januari lalu, Hafiz akhirnya membuka mulut dan mengesahkan sedang dalam proses perceraian dengan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata berusia 8 dan 5 tahun. – HIBGLAM