‘Selalu makan hati sampai fikir aku ini buruk’

GAGAL menahan air mata, penyanyi dan penyampai radio Nana Mahazan mengakui hatinya terguris dengan kecaman yang dilemparkan segelintir individu sepanjang berada dalam industri seni.

Akui Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan, 42, perkara tersebut memberi impak kepada emosi apabila merasakan dirinya sekadar menjadi sasaran hinaan.

“Berada dalam industri seni ini tak mudah. Bila saya dah berhijrah orang yang tak suka tetap ada, tetapi mereka tak fikir kata-kata mereka itu bukan saja mengguris, bahkan beri kesan mendalam.

“Sepanjang saya dalam industri selalu makan hati sampai fikir aku ini buruk, tak baik, memang Allah jadikan aku ni untuk dibenci manusia,” katanya ketika berkongsi pengalaman di radio.

Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2003 yang bertudung sejak tiga tahun lalu itu turut berharap orang ramai menjaga lisan agar tidak menyinggung perasan individu lain.

“Sebenarnya, apabila hidup di dunia ini  kita bersama-sama semua umat Islam sepatutnya menyebarkan kebaikan.

Kalaulah ada orang yang selalu berkata baik, Insya-Allah ramai yang mungkin sudah tersasar mahu jadi baik juga.

“Menghukum, caci maki serta melakukan perkara sebegitu tidak akan membantu.

Kalau boleh warganet tulis yang baik-baik sebab kita tak tahu doa yang baik itu mungkin akan berbalik kepada kita,” ujarnya.

Menerusi ruangan komen, ramai pengikut menitipkan kata-kata semangatbuat ibu kepada dua anak itu agar terus cekal mengharungi arena hiburan.

Allah takdirkan artis macam Nana dan rakan artis yang berhijrah bagi mesej berguna kepada orang lain,” kata seorang netizen.

“Jangan pedulikan pembenci. Saya suka Nana terutama sejak berhijrah,” tulis peminatnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok