DIDAKWA bakal mengumumkan berita gembira pada 7 Februari depan, pelakon Erra Fazira menyifatkan khabar yang bertebaran itu sebagai spekulasi nakal.
Erra atau nama lengkapnya Fazira Wan Chek berkata, tiada kejutan istimewa pada sambutan ulang tahunnya yang ke-51 itu nanti, apatah lagi berkongsi status hubungannya dengan seorang ahli perniagaan.
Mana pula dapat cerita ini? Belum lagi. Sabarlah. Saya sendiri baru dengar cerita ini kononnya ada pengumuman istimewa pada tarikh berkenaan, namun hakikatnya tiada apa akan berlaku,” katanya menerusi wawancara dengan sebuah portal.
Dalam temu bual sama, ibu tunggal anak satu itu juga tidak mengesahkan desas-desus sudah bertemu keluarga Ezwan Zain iaitu lelaki yang dikatakan intim dengannya.
Menurut Erra, antaranya dengan duda yang digelar Mr E, itu hanya sebagai kenalan rapat ketika menjalani penggambaran program bual bicara, Primadona beberapa tahun lalu.
“Ketika penggambaran program itu di kafenya kami tak bersembang pun. Kalau tak silap saya, kami bertemu semula tiga tahun lalu di konti radio Sinar FM.
Daripada situ, kami mula berbual sekadar menyantuni. Hanya beberapa bulan lalu Ezwan rajin menghantar mesej dalam Instagram (IG), sejak itulah, kami semakin rancak berbual.
“Maka, boleh dikatakan kami mula rapat sejak beberapa bulan lalu. Saya kategorikan Ezwan sebagai kenalan rapat,” ujarnya.
Mengulas mengenai ucapab hari lahir dikongsikan dalam laman sosial sekali gus membuatkan peminat tertanya-tanya, katanya tiada sebarang maksud tersembunyi berhubung ucapan tersebut sebaliknya sekadar tanda ingatan seorang sahabat.
“Mengucapkan ‘happy birthday’ adalah perkara biasa. Sebelum ini, sudah ramai yang saya ucap berserta dengan emoji hati. Mungkin dia terlihat sebagai ‘potential partner’ di mata orang luar.
Saya jarang berkongsi apabila tiada keperluan untuk dikongsi. Dalam hati, tujuan saya sekadar ingin membuat kejutan istimewa buat Ezwan. Hanya ucapan ringkas buat ‘birthday boy’, maka saya muat naik,” katanya.
Begitupun Erra bersyukur apabila pengusaha kafe berusia 44 tahun itu memahami serta ‘kalis’ usikan apabila persahabatan mereka menjadi bahan sensasi.
“Saya tak rasa ia keterlaluan sehingga boleh menjadi bahan bualan. Dengan tumpuan diberikan, saya percaya Ezwan sedikit terkejut, tetapi dia adalah insan yang tidak asing dalam industri hiburan, jadi dapat menanganinya dengan baik.
“Saya bersyukur berkawan dengan lelaki berstatus duda dan agak matang. Sama ada, dia pilihan terbaik dalam membentuk institusi perkahwinan, saya belum mengkaji ke arah itu dengan mendalam,” kata Primadoma Filem Melayu Alaf Baru itu.
Sebelum ini mereka juga dilihat menyantuni seorang teman pesakit di sebuah pusat perubatan yang turut selain ditemani pengurus selebriti terbabit.
Menguatkan lagi spekulasi bukan hanya kawan biasa susulan pengakuan Ezwan yang tidak menafikan mereka kini dalam fasa mengenali hati budi.
Terdahulu, ucapan Erra dalam InstaStory buat seseorang menjadi bualan ramai kerana ucapan tersebut dikatakan berbaur romantis disulami dengan lagu Semoga Abadi dendangan Misha Omar.
Gambar susuk lelaki dan perempuan yang digelapkan juga menguatkan spekulasi bahawa hantaran itu ditujukan kepada seseorang yang istimewa di hatinya.
Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan penyanyi, Datuk Yusri Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.
Kemudian dia berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya, 16, tetapi mereka berpisah pada 2014. – HIBGLAM