PELAKON Siti Khadijah menganggap tindakan segelintir peminat yang cuba menjodohkannya dengan aktor Amir Ahnaf adalah perkara lumrah susulan keserasian mereka dalam drama Cinta Dalam Sekam.
Siti atau nama penuhnya Siti Khadijah Abdul Halim, 29, percaya perkara itu lambat laun akan berlalu pergi.
“Saya rasa itu lumrah untuk semua pelakon drama, mesti akan ada ‘shipping culture’. Perkara ini akan datang dan pergi.
Tapi bila sesebuah projek itu tinggalkan hubungan persahabatan, saya sangat menghargainya.
“Mungkin keserasian melonjak-lonjak kami yang buatkan orang masih bercakap mengenainya walaupun drama sudah habis,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media drama terbaharunya, Takdirnya Cinta terbitan UTV di sini, baru-baru ini.
Mengulas mengenai hubungan rapat dengan Amir, dia menegaskan status antara mereka hanya rakan seindustri yang saling menyokong kerjaya seni masing-masing.
Saya gembira dan suka berkawan dengan dia. Itu saja jawapan saya. Sebenarnya, saya fikirkan Amir sama ada dia rasa tertekan atau tidak setiap kali orang ‘tag’ namanya dalam hantaran media sosial saya.
“Tetapi dia pula bimbang saya rasa benda sama. Jadi, kami berdua saling merasakan tekanan itu.
“Kami megambil inisiatif untuk tidak terlalu berinteraksi dalam media sosial,” ujarnya.
Dia bagaimanapun meminta peminat tidak terlalu meletakkan sebarang harapan tinggi untuk melihatnya bercinta dengan Amir.
“Kali ini orang terlalu ‘ship’, saya pun takut. Jangan ya semua (berharap).
Nanti tiba-tiba tak menjadi, kapal tak berlabuh, kalian juga sedih.
“Namun saya tahu semua ini jadi sebab mungkin kami berdua masih bujang,” jelasnya.
Terdahulu, nama Siti dan Amir melonjak selepas kejayaan Cinta Dalam Sekam terbitan Viu Original.
Rentetan kejayaan itu, ramai memuji lakonan dan keserasian dua pelakon tersebut sehingga berharap mereka benar-benar menjalin hubungan cinta di luar set penggambaran. – HIBGLAM
