‘Konsert GenKRU bukan lagi tentang kami’

BAKAL mencipta sejarah beraksi di Axiata Arena Bukit Jalil untuk tiga malam berturut-turut pada Mei depan menerusi Konsert GenKRU, trio KRU menyifatkan persembahan mega tersebut sebagai satu tanggungjawab besar.

Akui tiga bersaudara itu, melihat sambutan luar biasa peminat apabila tiket pada 3 dan 4 Mei habis terjual dalam tempoh singkat, mereka perlu memenuhi permintaan ramai.

Bersetuju menambah satu malam lagi pada 10 Mei menjadikan keseluruhan tiga persembahan, Datuk Norman Abdul Halim bersama dua adiknya, Datuk Yusry dan Edry sedia menghadapi cabaran mendatang.

Enggan mengecewakan penyokong tegar yang terlepas menyambar tiket untuk kedua-dua tarikh konsert, cadangan diajukan ‘orang kuat’ Icon Entertainment, Iman Tang diterima dengan hati terbuka.

Awalnya apabila Iman menyatakan ramai peminat minta tambah satu hari lagi, Yusry dan Edry agak keberatan tetapi mereka kemudian terbuka hati selepas memahami tujuan adalah memenuhi harapan ramai.

“Misi Konsert GenKRU ini bukan lagi tentang kami. Tahun ini tiga dekad kami bersama. Jadi sampai bila lagi? Nak tunggu    umur saya 55 atau 56? Saya tak tahu laratkah kalau nak buat lagi konsert tiga, empat tahun lagi.

Kalau mereka nak kembalikan momen 1990-an itu, selagi saya mampu lagi saya mahu buat dan tahun ini saya mampu.

Itulah yang saya cakap pada Yusry dan Edry,” ujarnya selepas pengumuman penambahan hari konsert, baru-baru ini.

Kali terakhir trio ikonik itu mengadakan konsert berskala besar adalah pada 2018 melalui Konsert GenerasiKRU25 di Istana Budaya iaitu sebelum kumpulan itu dibubarkan.

Jaga Stamina

Menurut Norman, sebagai persediaan terutama dari segi stamina dia sudah memulakan senaman terutama berjoging selain menjaga pengambilan makanan.

“Usia sudah bertambah dan Edry pun lagi dua tahun cecah angka 50, jadi tenaga kami tidak seperti dulu. Kena jaga stamina agar tak pancit memandangkan banyak lagu bakal dibawa dalam tempoh dua jam nanti.

Alhamdulillah, berkat jaga makan dan joging berat saya sudah turun lapan kilogram dalam tempoh lebih dua bulan. Edry dengan Yusry pun nak daftar keahlian gim.

“Kami saja memilih hari ketiga konsert seminggu selepas fasa satu dan dua agar semua yang terlibat dapat berehat dan tidak ‘burn out’, kiranya kami semua dapat tampil bertenaga semula pada 10 Mei depan,” ujarnya.

Selepas tiket hari pertama dan kedua Konsert GenKRU pada 3 dan 4 Mei ini habis dijual dalam tempoh kurang sejam, kini KRU mencipta rekod baharu apabila menambah untuk hari ketiga.

Keputusan menjadikan konsert GenKRU tiga hari juga adalah sebuah sejarah baharu yang wajar dibanggakan bintang tempatan apabila kebanyakannya hanya mengadakan konsert selama dua hari.

Tiket untuk Konsert GENKRU boleh ditempah menerusi www.ticket2u.com.my/kru3 dengan harga mengikut kategori reKRUed berharga RM258, Canggih (RM358), Relax (RM478), Kaset (RM508), KRUjaan (RM548) dan KRUnisme (RM588). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok