SELEPAS mencuri perhatian menerusi siri showcase Back to Basic dan DiA, penyanyi Misha Omar kembali menemui peminat menerusi showcase eksklusif, Aku & Lelaki pada 24 Oktober ini.
Bakal berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 8.30 malam, showcase berkenaan menjadi sebahagian daripada perjalanan Misha menuju konsert ulang tahun ke-25 dalam industri seni yang dijadualkan berlangsung tahun depan.
Berbeza dengan persembahan terdahulu, Aku & Lelaki mengetengahkan konsep yang meneroka keseimbangan antara dua sisi yang saling melengkapi iaitu maskulin dan feminin, kekuatan dan kelembutan serta kehilangan dan harapan.
Misha berkata, pemilihan lagu untuk showcase berkenaan dibuat dengan teliti bagi membentuk sebuah penceritaan yang membawa penonton menyelami pelbagai emosi, termasuk cinta, kehilangan, kerinduan, kegelisahan, kegembiraan dan harapan.
“Saya tidak mahu peminat mendengar perkara yang sama setiap kali kita bertemu. Aku & Lelaki menjadi ruang dan peluang untuk saya meneroka lagu-lagu yang saya kagumi daripada penyanyi lelaki yang banyak memberi inspirasi kepada perjalanan muzik saya.
Namun pada masa sama, saya masih dan akan tetap membawa identiti saya sebagai seorang penyanyi wanita.
“Saya mahu peminat menikmati sesuatu yang baharu dan berharap showcase ini dapat membuat penonton pulang dengan kenangan yang istimewa,” katanya.
Selain membawakan lagu popular daripada katalog peribadinya, Misha turut memberikan interpretasi tersendiri terhadap karya ikonik yang pernah dipopularkan penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.
Menurutnya, pendekatan berkenaan memberi peluang kepadanya untuk meneroka sisi muzik yang berbeza, selain menampilkan kekuatan vokal dan penghayatan emosi dalam setiap karya.
Bagi memastikan persembahan berlangsung pada tahap yang diinginkan, Aku & Lelaki menampilkan barisan tenaga kreatif berpengalaman dengan Ee Jeng bertindak sebagai Pengarah Muzik yang bertanggungjawab menyusun keseluruhan muzik dan persembahan.
Arah persembahan pula dikendalikan Jennifer Thompson, manakala aspek teknikal diterajui Simon.
Showcase itu dianjurkan Double M Productions dengan pengurusan konsert oleh Altus Prohouse.
Sebagai pembuka tirai menuju konsert ulang tahun ke-25 Misha, Aku & Lelaki bakal menjadi ruang untuk penyanyi berkenaan meraikan perjalanan muziknya bersama peminat yang terus menyokong kerjaya seninya sepanjang lebih dua dekad.
Tiket Aku & Lelaki mula dijual hari ini, 3 September, pada pukul 12 tengah hari menerusi Ticket2U.
