‘Akan hantar jemputan rasmi’ – 3 Diva impi Tun M datang konsert lagi

MAHU mengulang semula sejarah manis, tiga penyanyi Indonesia Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ mengimpikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Konsert 3Diva Live in Malaysia Timeless yang akan berlangsung pada November depan.

Menurut Kris, momen manis tersebut pernah berlaku pada Konsert 3 Diva di Malaysia pada 2007 iaitu sekitar 19 tahun lalu.

“Syukur kalau Tun Mahathir berkesempatan datang nanti kerana itu yang berlaku pada 19 tahun lalu. Kehadirannya dengan isteri, Tun Siti Hasmah meninggalkan kenangan manis yang masih berbekas dalam ingatan.

Bayangkan, beliau bukan sahaja hadir menonton, malah sudi datang ke belakang pentas untuk bergambar bersama.

“Itu adalah satu pencapaian yang sangat besar buat 3 Diva,” katanya kepada HibGlam pada sidang media Konsert 3Diva Live in Malaysia Timeless di Jakarta baru baru-baru ini.

Sementara Ruth pula berkongsi mengenai pujian yang diterima daripada Tun Mahatir mengenai konsert mereka.

Kami dengar Tun Mahathir sempat berucap dan memuji persembahan 3 Diva. Katanya, ‘wah, luar biasa, seperti konsert di Las Vegas, Amerika Syarikat’.

“Apabila melihat dari atas pentas, kami nampak beliau sangat menikmati persembahan itu dan tersenyum sepanjang waktu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan T-Rex Studio Sdn. Bhd. yang juga selaku penganjur, Audrey Wan Yuen Theng berkata, konsert tersebut dianjurkan selepas 19 tahun menyepi bagi mengubat kerinduan peminat di Malaysia.

“Konsert ini menjadi sebahagian daripada sejarah muzik serantau dan tiga penyanyi tersebut.

“Disebabkan memperkenalkan pakej ‘Semua Jadi Satu’ supaya peminat boleh hadir bersama keluarga dan sahabat bagi merasai pengalaman eksklusif ini,” ujarnya.

Meski terdapat lambakan festival muzik sekitar bulan November nanti, dia bagaimanapun yakin dengan penganjuran konsert tersebut selain akan berusaha untuk menghantar jemputan kepada Tun Mahathir.

“Tekanan memang tak dapat dielakkan tetapi kami mahu membangkitkan semula memori 20 tahun lalu. Kita tahu ramai artis tempatan dan tokoh seperti Tun Mahathir meminati mereka.

Kami akan menghantar jemputan rasmi kepada Tun Mahathir dengan harapan beliau dapat hadir memeriahkan lagi malam tersebut,” jelasnya

Konsert 3Diva Live in Malaysia Timeless bakal berlangsung di Unifi Arena pada 22 November ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok