‘Hati-hati komen’ – Jaa Suzuran ulas kes dadah abang, kakak ipar

CUBIT paha kanan, paha kiri pun terasa sakitnya. Begitu juga situasi yang dilalu pelakon juga usahawan, Jaa Suzuran yang meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tidak benar berkaitan penahanan abang dan kakak iparnya yang juga penyanyi lagu popular Bea Soba Bea, Eda Ezrin bersama empat lagi rakyat Malaysia di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat, Thailand, bersama 6,000 pil methamphetamine atau pil kuda pada 1 November tahun lalu.

Menurut Jaa, sebagai ahli keluarga, dia juga tidak boleh memberi komen yang berlebihan kerana kes tersebut masih di bawah siasatan pihak berkuasa.

“Percayalah kalau ada perkara yang saya boleh cakap memang saya nak bercerita. Siapa tak nak pertahankan keluarga. Sudah tentu saya terkejut sebab berlaku secara tiba-tiba. Susah saya nak jelaskan. Kalau kejadian sama berlaku kepada anda, sudah pasti turut terkejut.

“Kami sekeluarga sekarang hanya mampu berdoa supaya segala urusan dipermudahkan. Saya nak cakap lebih-lebih pun tak boleh sebab tiada di tempat kejadian,” katanya kepada HibGlam selepas tayangan perdana filem Soloz: Game of Life di sini semalam.

Sedar kes tersebut menjadi bualan hangat ramai, Jaa memohon orang ramai tidak terus menyebarkan perkara tidak benar kerana bimbang menjejaskan kes yang sedang berlangsung di mahkamah.

“Saya harap kita semua berhati-hati terutama dalam percakapan. Ini kerana, kita tak tahu cerita sebenar yang terjadi pada waktu kejadian.

“Saya tidak dapat nafikan saya pun sebelum ini pernah membuat spekulasi dan memberikan komen apabila sesuatu kes viral walaupun hakikatnya kita pun tiada di tempat kejadian,” ujarnya.

Dia juga mengakui tidak mampu untuk menghentikan sebarang spekulasi selain berharap keluarganya tabah menghadapi ujian tersebut.

“Kadang-kadang saya memilih untuk tidak layan komen netizen dalam media sosial tetapi tak boleh nak salahkan mereka juga sebab kes ini sudah viral.

“Siapa yang tak ikuti perkembangan kes? Kini, saya dan keluarga hanya mampu bersabar. Kita nak marah pun tiada guna,” jelasnya.

Terdahulu, pada 14 Januari lalu, penyanyi dikir barat Malaysia dan lima individu lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di pekan Sungai Golok pada 1 November lalu.

Bagaimanapun penyanyi, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, rerta empat yang lain, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan , Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil yaba.

Namun mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah (memasuki dadah dalam badan) selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memiliki pil yaba di sebuah hotel di pekan Sungai Golok pukul 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu. – HIBGLAM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok