‘Rotan sahaja, anak buat salah masih dipertahankan’

Kes salah laku dikalangan pelajar semakin membimbangkan, pelakon Shakilla Khoriri menegur segelintir ibu bapa yang terlalu takut menghukum anak apabila melakukan kesalahan.

Shakilla atau nama lengkapnya Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, 36, berkata, pendekatan mendisiplinkan anak menerusi hukuman fizikal seperti merotan tidak wajar dilihat sebagai sesuatu yang salah andai dilakukan dengan tujuan mendidik.

Menurutnya, sikap terlalu memanjakan anak sehingga setiap kesalahan dipertahankan hanya akan membawa kesan buruk terhadap perkembangan mereka pada masa depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rotan sahajalah! Apa masalah ibu bapa yang tidak boleh terima (hukuman) rotan?

“Bila anak sudah jadi (tidak baik), lepas itu baru terhegeh-hegeh hendak menuding kesalahan kepada orang lain,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Shakilla juga menyelar tindakan sesetengah ibu bapa yang terlalu melindungi anak selain enggan terima teguran, sedangkan mereka sendiri pantas mengkritik kesalahan anak orang lain.

“Sekarang ini ibu bapa terlalu takut hendak tegur anak. Anak buat benda salah pun masih dipertahankan.

“Apabila anak orang lain buat salah, lajulah kamu gelak dan komen!” ujarnya

Pelakon drama Jangan Hilangkan Dia itu berkata, ibu bapa sepatutnya berani mengakui kesalahan anak dan mengambil tindakan sebagai proses membentuk disiplin serta keperibadian mereka.

Terdahulu, rata-rata netizen meninggalkan komen positif terhadap pandangan Shakilla dan sependapat dengannya.

“Setuju, kat rumah saya memang dah sediakan rotan,” tulis seorang netizen.

Dipercayai, perkongsian tersebut susulan perbincangan di laman sosial mengenai kaedah terbaik menjaga disiplin serta tingkah laku pelajar termasuk mengenakan hukuman rotan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok